Thursday

Tiga Golongan Yang Rugi

"Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata:"Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu". Aku mengucap:"Amin". "Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak dimasukkan ke syurga". Aku berkata:"Amin". Jibril berkata lagi:"Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya". Lalu aku mengucapkan:"Amin". -Riwayat Imam Ahmad

Daripada qaul Rasulullah SAW di atas dapatlah disimpulkan, terdapat 3 golongan manusia yang Rasulullah SAW kategorikan sebagai seorang yang rugi. Ruginya bukan di dunia sahaja, malah ruginya berterusan sehingga hari akhirat. Ketika mana orang lain berlumba-lumba mengumpul 'dana pahala' di dunia, dirinya sambil lewa dengan kehidupan dunianya. Maka terlepaslah peluang dan kesempatan yang Allah beri kepadanya.

Betapa tidaknya, peluang sudah ada di depan mata. Tetapi kerana ikutkan hati seronok dan teruja dengan nikmat kehidupan dunia, sekalipun nama junjungan Nabi Muhammad SAW didengarinya terasa berat lidah untuk menyebutnya. Jika seseorang yang punya perniagaan, sudah pastilah orang sebegini sentiasa dalam kerugian. Perniagaannya tiada kemajuan malah mungkin boleh sampai kepada peringkat muflis dan berhutang. Peluang telah pun tersedia tetapi tidak mahu dijamah keuntungannya .

"Ya Rahman.. Berkatilah usia kami agar sentiasa dalam ketaatan. Rahmatilah hidup kami agar sentiasa dalam keampunan. Sampaikanlah salam penuh kerinduan buat nabi junjungan serta jadikanlah kami teman... Yang berada di sisi Rasul-Mu di taman kenikmatan."

Begitu juga dengan seorang anak yang masih lagi mempunyai ibu dan ayah. Sungguh ibu dan ayah itu adalah aset untuk kita menambah pahala. Hatta dengan senyum kepada orang tua juga sudah diberi ganjaran pahala oleh Allah, apatah lagi jika mengikut segala perintahnya selagi mana tidak melanggar syariah. Pastilah ganjarannya lebih berlipat ganda. Dan inilah yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan kedua yang rugi semasa hidupnya. Walaupun mempunyai peluang untuk mendapat ganjaran pahala dengan berbakti kepada orang tua, tetapi orang tuanya dibiarkannya sia-sia. Dan ada yang sehingga sanggup meninggalkan mereka di rumah orang tua.

Teringat dengan kata-kata Imam Muda Hassan sewaktu menonton rancangan Imam Muda beberapa tahun yang lalu. Beliau mengingatkan pada semua anak-anak muda yang masih dikurniakan ibu ayah agar sentiasalah merasa syukur dengan kurniaan Allah SWT. Adanya ibu dan ayah bermakna Allah masih lagi memberikan kita peluang untuk berbakti kepada mereka. Allah masih memberikan kesempatan kita untuk menambah dan merebut ganjaran pahala dan kebaikan dengan menghormati dan menyayangi mereka. Hanya dengan redha keduanya, maka redha Allah juga akan kita perolehi. Dengan berbakti kepada mereka, Allah akan balas dengan ganjaran pahala yang berganda. Itu janjiNya.

"Ya Rahman.. jadikanlah diri ini permata ayah bonda. Jadikan diri ini penyejuk mata mereka.. Jadikan diri ini penghibur lara mereka. Engkau kasihilah mereka sepertimana mereka mengasihiku sedari kecil hingga dewasa. Engkau redhailah mereka dan jadikan diri mereka redha padaku agar redhaMu jua sampai kepadaku"

Golongan yang ketiga daripada hadis di atas ialah golongan manusia yang apabila perginya Ramadhan, dosa-dosanya masih lagi tidak terampun. Asbab kerana hatinya masih lagi kurang persediaan dan kesediaan dalam menghadapi bulan Ramadhan. Dia hanya mengetahui bulan Ramadhan pada zahirnya sebagai bulan pengampunan tetapi sayang dia tidak dapat merasainya dengan hati yang penuh bersedia. Di mindanya hanya dapat memahami erti puasa dari segi istilah sahaja iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Sedangkan tingkatan orang yang paling ahsan puasanya, bukan setakat menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa tetapi dalam masa yang sama mengharapkan keampunan dan keredhaan Allah SWT semata-mata. Asbab hanya memahami hakikat Ramadhan dari kulit sahaja tidak pada isinya, maka jadilah dia seolah-olah perenang yang hanya berenang di tepian tetapi tidak sampai ke dasar lautan walaupun kelengkapan dan peralatan sudah disediakan.

Tingkatan puasa orang sebegini termasuk di dalam puasanya orang awam. Lantaran itu, ada di antara amal yang dilakukan juga ala kadar sahaja. Hanya cukup dengan menahan diri dari makan & minum serta perkara yang boleh membatalkan puasa. Ibadahnya masih lagi seperti hari-hari sebelumnya. Malah ada lagi yang lebih mengecewakan ibadahnya seiring dengan maksiatnya. Alangkah ruginya golongan ini apabila peluang di depan mata sudah tersedia untuknya tetapi tidak mahu meraihnya. Baginya tidak ada bezanya Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain. Iyya'uzubillahi min zalik.

Tetapi apabila seseorang itu dapat menghayati hakikat Ramadhan yang sebenar, dia akan menggunakan dan mengambil sepenuhnya peluang dan kelebihan yang terdapat di dalam bulan tersebut. Masa yang ada seakan begitu berharga. Tiap saatnya digunakan sebaiknya. Amalan wajib diperbaiki, amalan sunat digandakan lagi. Lidahnya sibuk dengan zikir kepada Ilahi.. Tangisnya di malam hari menemaninya setiap hari sehinggakan tiap waktunya adalah semata-mata memohon keredhaan dan keampunan Allah SWT.

"Ya Rahmanu Ya Rahim.. permudahkanlah langkah kami agar sentiasa ingin dekat denganMu. Berikanlah kami kekuatan dan kesihatan untuk sentiasa sujud kepadaMu.. Agar terdidik hati ini untuk sentiasa bersyukur dengan limpah RahmatMu. Jadikanlah jiwa ini sentiasa rindu dengan sentuhan kasih sayangMu. Jadikanlah lidah kami lembut dan tiada jemu menyebut namaMu malah rasa terhibur dengan membaca alunan kalamMu."

"Ya Allahu Ya Kareem.. Istiqamahkanlah setiap apa yang telah kami persembahkan... Engkau redhailah setiap apa yang telah kami lakukan.. Ampunilah segala dosa yang telah kami perbuatkan serta masukkanlah kami di kalangan mereka yang Engkau Rahmati dan Redhai.. Sungguh tiada daya kami melainkan Engkau yang Maha Pengampun jua Maha Pengasih."

InsyaAllah, sama-sama kita berdoa semoga usaha yang kecil dan amalan yang sedikit ini dapat mengubah diri. Biar kecil dan sedikit asalkan kita lakukan dengan istiqamah dan bersungguh-sungguh. Berazam dan bertawakkallah kepada Allah SWT semoga Allah redha dengan apa yang kita lakukan. Yakinlah, amalan yang disertai dengan kesungguhan semata-mata mengharapkan redhanya Allah SWT pastinya nanti akan sentiasa menjadi 'sahabat' kita. Setiap masa kita akan bersama-sama dengannya. Umpama seseorang yang sentiasa membaca Al-Quran sudah pastilah Al-Quran itu menjadi sahabatnya. Ada sahaja kesempatan dan masa terluang, Al-Quranlah yang dicapainya. Hari-harinya sentiasa bersama Al-Quran.

Gunakanlah peluang dan kesempatan ini dengan melipat gandakan lagi amal ibadah kita. Perbanyakkan dzikir setiap masa dan muhasabah diri sentiasa. Tatkala larutnya diri dalam sendunya dzikir pada yang Esa, renungilah diri kita. Tiada yang lebih sempurna melainkan zat yang Maha Sempurna. Dan tikamana bersatunya diri dalam dzikirullah, pasti akan ada titisan jernih menyentuh pipi meraih beningnya hati. Air mata itulah nantinya akan menjadi saksi. Moga ianya juga yang akan membela mu di sana nanti. Negeri yang kekal abadi.