Friday

MEMAHAMI KONSEP BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR


Ayat muqaddimah tadi adalah sebahagian daripada ayat di dalam surah Saba' yang menceritakan tentang kisah tamaddun di zaman lampau yang menjadi kuasa besar di bahagian selatan semenanjung tanah Arab. Ayat ini telah menceritakan keagungan dan kegemilangan negara Saba' sebagai negara yang unggul sehingga digelar "Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur". Suatu kuasa yang telah melalui zaman pembinaan dan zaman kegemilangan yang bukan sahaja merupakan sebuah negara yang kaya, bahkan ia merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Negara Saba' juga adalah sebuah kerajaan yang teragung dan yang terbesar. Menurut satu riwayat bahawa kerajaan tersebut pernah menaungi semua kerajaan yang berada di semenanjung tanah Arab pada satu ketika dahulu.

Negara Saba' mempunyai pemerintahan yang bertahan selama ratusan tahun bermula pada tahun 950 sebelum masehi  sehinggalah 115 sebelum masehi. Oleh kerana keagungan yang telah di lalui oleh mereka ini, maka kisah ini di rakamkan oleh Allah SWT di dalam surah Saba' dan surah Al-Naml.

Jikalau kita melihat didalam kitab kitab sejarah, seperti Al-Bidayah Wa Al-Nihayah, maka kita dapati ketinggian tamaddun Saba' ini mempunyai beberapa keistimewaan jika di bandingkan dengan tamaddun-tamaddun Arab lain seperti kerajaan Himyar, Ma'in, Qataban dan lain-lain.
Keistimewaan-keistimewaan ini adalah di antara punca kerajaan Saba' mencapai tahap kecemerlangan dan kemajuan yang tinggi, di antaranya:

1.   Kemajuan yang di dorong oleh aspek ketaqwaan kepada Allah SWT dan akidah yang tulen. Maka dengan sebab inilah Saba' di sifatkan sebagai negara yang makmur, dan negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT.
Dalam  kitab sejarah Al-Kamil fi al-Tarikh, Al-Bidayah wa Al-Nihayah, dan juga kitab-kitab tafsir berkenaan dengan kisah ini, kita dapati bahawa zaman kegemilangan dan kemakmuran ini berpunca daripada kepimpinan Ratu Balqis yang diutus oleh Nabi Allah Sulaiman a.s yang telah menjadikan aspek iman dan taqwa kepada Allah SWT sebagai asas pemerintahan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-A'raaf ayat 96:

"Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".

1.   Memberi keutamaan kepada aspek pembinaan sosial yang berasaskan ilmu dan keimanan kepada Allah. Keamanan terserlah sebagaimana dikisahkan  dalam Tafsir Ibnu Kathir, para musafir tidak menghadapi masalah bekalan, di mana saja mereka singgah mereka boleh mendapatkan keperluan seperti minuman dan makanan. Mereka juga boleh berehat siang di daerah yang lain dan malam di daerah yang lain pula. jelasnya, mereka boleh bermusafir dalam keadaan selesa dan aman.

2.   Kekuatan ekonomi berasaskan tauhid sehinggalah keberkatan dan  kemakmuran yang Allah kurniakan kepada mereka menyebabkan mereka tidak pernah kekurangan makanan, malahan berlebihan. Menurut Tafsir Hamka, Qatadah menceritakan jika seorang wanita pergi ke kebun membawa bakul dan menjunjungnya di atas kepala, buah-buahan yang masak ranum akan jatuh dengan sendirinya ke dalam bakul tanpa perlu dipetik dan apabila ia keluar dari kebun, bakulnya itu penuh berisi dengan buah-buahan.

3.   Kekuatan ketenteraan dan kesetiaan kepada pemerintah sehinggalah keselamatan dan keamanan dapat dinikmati oleh rakyat.

4.   Memiliki teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini.

5.   Negara yang mengutamakan kebajikan untuk rakyat agar semua lapisan rakyat dapat mengecapi nikmat pembangunan, kemajuan dan menikmati hasil mahsul Negara.

Untuk merealisasikan konsep ‘Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbu Ghafur' kita harus mencontohi kegemilangan dan kecemerlangan kerajaan Saba'. Kita perlu melihat kegemilangan ini berdasarkan pandangan iman dan ilmu yang berteraskan ajaran Islam. Antara ciri-ciri  penting untuk dikotakan oleh sesebuah pemerintahan Islam adalah:

1.   Dengan melaksanakan syariat Islam secara syumul atau holistik termasuk pelaksanaan segala hukum-hakamnya untuk memberi jaminan keamanan dan kemakmuran di dunia dan akhirat. Untuk mencapai ini pelaksanaan pemerintahan mestilah mengikut prinsip Maqasid Syariah iaitu keperluan asasi (dharuriah) yang memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. 

2.   Pelaksanaan konsep   ‘Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur' bertujuan untuk menjamin agar rakyatnya selamat dan terpelihara maslahah kehidupannya. Negara yang mengamalkan konsep ini, meletakkan peranan agama Islam sebagai peranan yang terpenting kerana apabila agama "selamat" maka perkara-perkara nyawa, maruah, keturunan dan harta turut selamat. Ini berbeza dengan konsepsi negara kebajikan yang ditaja oleh Barat, penekanan mereka hanya kepada aspek kebendaan. Bagi Barat keperluan asasi  rakyat ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal sahaja. Tidak hairanlah negara berkebajikan di Barat berdepan dengan masalah yang serius kerana kebendaan tidak boleh menjamin kebahagiaan manusia yang berpanjangan. Sebaliknya Islam menekankan kekuatan iman dan ilmu dalam membina konsep ‘Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur'.

3.   Pemimpinnya yang adil, berani, amanah, berkemampuan, mindanya tajam, berilmu pengetahuan luas meliputi ilmu dunia dan akhirat dan berkemahiran dalam pentadbiran.

4.   Syura hendaklah dipraktikkan secara sepenuhnya, membenarkan penglibatan rakyat dalam proses membuat keputusan dan menyediakan sistem yang adil dan saksama kepada semua pihak.

5.   Keadilan untuk semua, persamaan di kalangan semua warganegara tanpa mengira puak, bangsa atau asal usul. Menghormati dan melaksanakan prinsip hak persamaan sesama manusia dan semua hak-hak asasi manusia.

Jelasnya konsep  ‘Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur' adalah dinamik dengan ciri-ciri asas yang tidak berubah, iaitu berpandukan syariah tanpa sebarang cabaran daripada peraturan buatan manusia. Dalam masa yang sama, sebuah negara Islam hendaklah memperakui dan membenarkan segala peraturan lain demi memelihara kemaslahatan manusia selagi berada di bawah pengawasan dan pengiktirafan syariah.
Marilah kita menanamkan tekad bagi membena negara dan negeri kita ini sebagai negara contoh yang dibanggakan dengan konsep negara yang makmur dan mendapat keampunan Allah SWT. Kita semua hendaklah berperanan membina diri, keluarga dan masyarakat berpandukan kepada syariat Islam. Kita juga perlu menegakkan amar ma'ruf dan nahi mungkar bermula daripada individu sehinggalah kepada pemerintah, kerana ia di antara jaminan terbinanya ‘Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur'.

"Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di atas muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan".  
                                    (Al-Hajj : 41)                                                
  sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan