Sunday

MENCINTAI RASULULLAH S.A.W

Firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran ayat 31;
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (Ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Ayat ini menjelaskan kepada kita hakikat menyayangi Allah dan rasul-Nya. Sesungguhnya sesiapa yang mendakwa bahawa ia cintakan Allah,  maka sudah semestinya ia mencintai Rasul-Nya dan dengan itu ia akan disayangi Allah SWT dan diampunkan dosanya.

Cinta merupakan ungkapan yang sering diucapkan oleh seseorang dalam kehidupan seharian. Perkataan cinta menggambarkan perasaan atau berperasaan yang sangat sayang terhadap sesuatu atau seseorang; samada antara suami dan isteri, ibu dan anak, sesama kaum keluarga, kaum kerabat dan sebagainya. Cinta itu bukan sekadar suatu yang tumbuh subur di dalam jiwa bahkan ia juga adalah suatu tindak tanduk yang dapat diukur melalui tingkahlaku seseorang.

Dalam konteks membicarakan perasaan cinta atau kasih dan sayang ini, kita sebagai individu muslim tidak dapat lari dari membicarakan perasaan kasih dan sayang kita kepada Pencipta kita dan juga rasul-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Allah SWT telah mengutuskan rasul-Nya kepada manusia untuk membimbing mereka ke jalan yang benar melalui tunjuk ajar dan tindak tanduknya.

Persoalannya apakah bentuk cinta yang perlu kita buktikan terhadap Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam kehidupan kita seharian?

Cuba kita renungkan sifat cinta Rasullulah s.a.w kepada umatnya. Rasulullah s.a.w. dikurniakan oleh Allah SWT sebagai seorang insan yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya.Baginda s.a.w. mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati,sebagaimana cinta seorang ayah kepada anaknya. 

Tanda cinta  Nabi s.a.w. kepada umatnya dapat dihayati dari sikap prihatinnya ketika mana umat manusia berada di padang Mahsyar sedang bersedia untuk dihakimi oleh Allah SWT ke atas setiap amalannya. Maka ketika itulah Baginda s.a.w. merayu kepada Allah SWT supaya umatnya diringankan beban dan dilepaskan dari seksa api neraka.

Alangkah terharunya, bukanlah isteri, keluarga, kaum kerabat, sahabat ataupun harta yang dirisaukan oleh Baginda s.a.w. tetapi adalah umatnya.

Berbalik kepada persoalan apakah bentuk cinta yang perlu kita buktikan terhadap Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam kehidupan kita seharian? Sudah tentu antara cinta yang perlu kita buktikan terhadap Nabi s.a.w. adalah;

Pertama       :      
Tanamkan perasaan cinta dan kasih yang begitu ikhlas dan tinggi kepada Nabi s.a.w. Perasaan ini dipupuk dan disuburkan dalam jiwa kita di sepanjang masa melebihi segala-galanya. Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia lebih mencintaiku daripada bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya".                                                                 (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tanda  cinta sebeginilah yang dapat kita ambil iktibar pada diri umat terdahulu yang mencintai nabi Muhammad s.a.w iaitu sebagaimana cinta dan rindunya kaum Ansar di kota Madinah ketika menunggu-nunggu ketibaan Nabi s.a.w dalam peristiwa hijrah.

Ingatlah, sekiranya rasa cinta pada Nabi s.a.w. tidak subur dalam jiwa kita maka ini menyebabkan kita tiada usaha dan semangat dalam menghayati dan mencontohi cara hidup nabi s.a.w. dalam kehidupan seharian.

Kedua        :        
Sanggup mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. dari difitnah samada secara fizikal atau kata-kata.

Umat yang cintakan Nabi s.a.w. sentiasa sanggup mempertahankan kemuliaan Nabinya dari difitnah samada secara fizikal atau kata-kata. Lihatlah bagaimana Zaid bin Harithah sanggup mempertaruhkan nyawanya demi mempertahankan Nabi s.a.w.  dari dicederakan oleh penduduk Thaif semasa melaksanakan seruan dakwah terhadap masyarakat  di bandar tersebut.
Hayatilah cintanya para sahabat seumpama Talhah dan Abu Dujanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi Nabi s.a.w. daripada terkena anak panah musuh dalam peperangan Uhud. 
Hayatilah kesungguhan Hassan bin Thabit mempertahankan Nabi s.a.w. dengan rangkap-rangkap syairnya yang masyhur.
Justeru, sanggupkah kita mempertahankan kemuliaan Nabi s.a.w. dan ajarannya dengan fizikal dan lidah kita sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat Baginda s.a.w.?

Ketiga         :        
Sanggup mempertahankan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Umat yang cintakan Nabi s.a.w. sentiasa sanggup mempertahankan sunnah Nabinya. Mereka menjadikan cara kehidupan Nabi seharian sebagai model dan cara hidup mereka. Mereka sanggup memperjuangkan semua bentuk ajaran rasulnya bahkan berusaha keras membanteras segala bentuk larangan rasulnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7:
"Apa jua yang diberikan oleh Rasulullah (sama ada pemberian atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat berat azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya)".

Keempat      :      
Sentiasa berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Antara bukti kecintaan kita kepada Nabi s.a.w adalah melalui ucapan selawat sepanjang masa sebagaimana sabdanya dalam satu hadith dari Abu Hurairah, Baginda s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.
                                                                       (Riwayat Muslim)
 
Umat yang cintakan Nabinya sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangan Nabinya ke arah meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Umat yang kasih pada Nabinya akan sentiasa taat kepada arahan Allah dan rasul-Nya serta sentiasa menjauhi larangan.

Namun, kalau diperhatikan kehidupan setengah golongan masyarakat Islam hari ini, mereka lebih seronok dan bangga menjadikan artis, selebriti, ahli sukan dan tokoh-tokoh tertentu sebagai contoh ikutan yang digilai. Mereka  sanggup membelanjakan wang ringgit, mengorbankan tenaga dan masa demi untuk menghayati gaya hidup idola mereka. Mereka lahirkan rasa cinta mereka dengan mencari maklumat berkaitan ikutan mereka seolah-olah itulah gaya kehidupan mereka yang sebenar.

Di waktu yang sama, terdapat pula setengah golongan masyarakat Islam yang mempertikaikan kemuliaan dan perjuangan Nabi s.a.w.  Mereka mempertikai kedudukan hadith malahan ada yang menolaknya.

Kini tibalah masanya kita sebagai umat Islam perlu menukar arah dan pandangan hidup ke arah mencontohi cara hidup nabi Muhammad sa.w. Marilah kita sama-sama jadikan Nabi s.a.w. sebagai ikutan yang baik dalam kehidupan seharian. Ayuhlah sama-sama kita tanamkan sifat cinta kepada Nabi s.a.w. Marilah kita sama-sama menjadi umat Islam yang sentiasa bangga dan bersungguh-sungguh untuk mencontohi nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Sebagai contoh, cara makan dan minum, memberi salam, pergaulan seharian, masuk dan keluar tandas sehinggalah kepada perkara yang besar seperti aktiviti ekonomi, pemerintahan dan hubungan antarabangsa.

Ingatlah, kesempurnaan iman seseorang itu bergantung kepada sejauh mana cintanya kepada Rasulullah s.a.w.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kam sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai  lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasiq (derhaka)".
                                                                                    (At-Taubah: 24)   

sumber: Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.