Sejarah

Kampung Kuantan Klang, Kampung Melayu Tradisi

Kampung Kuantan adalah Kampung Melayu Tradisi yang tertua di Daerah Klang. Kampung ini terletak di pinggir Sungai Klang. Ia banyak menyimpan sejarah silam semenjak zaman Tun Perak menjadi Penghulu Klang pada masa Negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1445-1458) lagi.

Sehingga kini Kampung Kuantan masih ditadbir oleh Ketua Kampung seperti kampung-kampung tradisi yang lain. Banyak kampung tradisi di Klang kini hanya tinggal nama sahaja terhakis akibat pembangunan yang pesat. Nama-nama seperti Kampung Tengah, Kampung Bukit Raja, Kampung Sungai Rasau dan Kampung Pengkalan Batu yang pada masa dahulu menjadi pintu keluar masuk para pedagang yang berulang alik dari Kuala Lumpur ke Klang kini telah pun dilupai. Sebagai sebuah kampung tradisi, tentulah penduduk Kampung Kuantan ini keseluruhannya menjadi petani iaitu bersawah padi dan menangkap ikan di Sungai Klang.

Sebelum kedatangan orang-orang luar seperti Pahang, Melaka dan juga Sumatera penduduk asal Kampung Kuantan telah menerima orang-orang luar ini sebagai penduduk tetap untuk bersama-sama memajukan kampung tersebut dengan melakukan beberapa kegiatan seni dan pertukangan tangan seperti membuat kain sulaman, barang-barang dari buluh, lidi, bemban dan membuat atap nipah yang banyak tumbuh liar di sepanjang Sungai Klang. Pada satu ketika penduduk kampung mengadakan pertandingan seperti bermain gasing, layang-layang dan juga pencak silat yang semuanya itu sebagai pemantapan budaya tempatan.
 
Bentuk rumah di Kampung Kuantan adalah seperti rumah orang-orang Melaka.Ini adalah disebabkan pada zaman Tun Perak menjadi Penghulu Klang beliau telah membawa bersama tukang-tukang kayu (rumah) dari Melaka.Pada masa kini penduduk Kampung Kuantan telah membina rumah-rumah mereka dari bahan batu dan moden selaras dengan pembagunan negara yang pesat membangun.Penduduknya pula terdiri daripada berbagai kaum, bagaimanapun orang Melayu masih merupakan penduduk Majoriti. Kita berharap Kampung Kuantan, Klang ini akan kekal sebagai Kampung Tradisi Melayu sehingga ke akhir zaman. Sama-samalah kita menjaga identiti ini.

Petikan Berita Kampung
Terbitan JKKK KAMPUNG KUANTAN KLANG
JANUARI 2000