Perniagaan adalah merupakan suatu aktiviti
ataupun kerjaya yang amat dimuliakan oleh Islam kepada umatnya. Ini kerana
aktiviti perniagaan bukan sahaja sebagai sunnah Rasulullah s.a.w, bahkan
menjanjikan kepada umatnya hasil keuntungan dengan syarat perniagaan itu mesti
disulami dengan usaha yang bersungguh-sungguh berlandaskan asas-asas muamalat
Islam. Suatu ketika Nabi s.a.w. pernah ditanya berkenaan sesuatu pekerjaan yang
paling mulia, lantas Baginda s.a.w bersabda;
"(Pekerjaan tersebut adalah) Jual
beli yang mabrur (diredhai) dan pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan
usahanya sendiri".
(Riwayat Al-Bazzar dan Ahmad)
Allah SWT mengurniakan kelebihan atau
keuntungan kepada para peniaga iaitu dengan mengurniakan limpahan rahmat dan
meletakkan para peniaga jujur dan amanah sebaris dengan para anbia' dan
syuhada' di akhirat kelak sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;
"Sesungguhnya
ahli perniagaan yang jujur lagi amanah akan bersama-sama para Nabi, kumpulan
orang yang jujur dan para syuhada (di hari kebangkitan)".
(Riwayat At-Tirmizi)
Cabaran
utama dalam perniagaan yang dihadapi oleh peniaga ialah kemungkinan sama ada
untung ataupun rugi. Biasanya peniaga sentiasa mengidamkan keuntungan yang
berlipat ganda. Namun terdapat sebahagian manusia yang cenderung menghalalkan
segala muamalat haram semata-mata untuk meraih keuntungan berlipat ganda dengan
cepat.
Kesan
yang tidak sihat daripada perbuatan itu, menjadikan ada peniaga mengambil
kesempatan setiap kali kenaikan gaji dengan menaikkan harga barangan keperluan
asas yang akhirnya membebankan pengguna.
Tidak kurang juga ada peniaga yang
tidak beretika sanggup melakukan ihtikar iaitu cara monopoli barangan dan
penipuan dalam timbangan, penipuan dalam kualiti dan kuantiti barang serta penipuan
dalam harga, kesemuanya itu adalah haram dalam Islam.
Firman
Allah SWT dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1-3:
"Kecelakaan
besar bagi orang yang curang (menipu dalam timbangan dan sukatan). Iaitu
apabila mereka menerima sukatan daripada orang lain mereka meminta dipenuhi;
dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain,
mereka menguranginya".
Justeru
, langkah yang terbaik bagi peniaga-peniaga Islam ialah dengan mengikut teras
perniagaan yang dianjurkan oleh Allah SWT .
Firman
Allah SWT dalam surah Fatir ayat 29-30:
"Sesungguhnya
orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta
menafkahkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara
tersembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian)
mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya
Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahakan mereka daripada limpah
kurniaan-Nya)".
Bahawa Allah SWT akan memberikan
ganjaran yang tidak terhingga kepada orang yang melakukan urusan perniagaan
dengan tiga amalan utama iaitu pertama membaca dan dan bertadabbur Al-Quran,
kedua menyegerakan pelaksanaan solat dan ketiga menafkahkan sebahagian harta
yang dimiliki kepada golongan yang memerlukan.
Peniaga
yang baik sentiasa membaca dan memahami Al-Quran di samping menjadikan Al-Quran
sebagai panduan dan pembimbing ke arah menjalankan aktiviti perniagaannya
dengan penuh jujur, adil dan saksama. Al-Quran akan bertindak sebagai perisai
bagi seorang peniaga daripada melakukan penipuan, penyelewengan, rasuah dan
lain-lain amalan yang ditegah oleh syarak, termasuklah peniaga-peniaga pasar
malam supaya tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT.
Sebagai
contoh peniaga yang beroperasi pada hari Jumaat hendaklah menutup perniagaan
mereka sebaik sahaja azan berkumandang. Mereka hendaklah meninggalkan urusan
perniagaan untuk menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah. Urusan
perniagaan hendaklah dihentikan untuk menghormati solat Jumaat yang hanya
diadakan sekali dalam seminggu. Khutbah Jumaat hendaklah didengar dan diamati
untuk dihayati bukan sekadar syarat Jumaat. Ingatlah, keberkatan hanya akan
diperolehi hasil daripada ketaatan kepada Allah SWT kerana rezeki dan
keuntungannya adalah kurniaan Allah SWT semata-mata.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut ayat 45:
"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada
Al-Quran dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada
perbuatan keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
(faedahnya dan kesannya). (Ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan".
Peniaga yang bertanggungjawab
hendaklah menafkahkan sebahagian harta yang dimiliki untuk pembayaran zakat dan
membantu golongan yang lebih memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, ibu
tunggal, pesakit yang memerlukan sumber kewangan bagi menampung kos perubatan
mereka dan lain-lain. Amalan menafkahkan harta kepada tujuan-tujuan tersebut
pasti dapat menambahkan keberkatan harta yang dimiliki.
Kesimpulannya untuk menjadikan
perniagaan kita diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT kita hendaklah
melaksanakan etika perniagaan seperti berikut:
Pertama :
Memahami
bahawa kerja sebagai ahli perniagaan itu adalah
mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.
Kedua :
Semua jenis perniagaan hendaklah
berteraskan kepada
asas-asas muamalat Islam yang tidak bercanggah dengan syarak.
Ketiga :
Kejujuran dan amanah adalah menjadi
kunci kejayaan dalam
perniagaan.
Keempat :
Tidak
melakukan penindasan terhadap para peniaga yang lain
dengan cara monopoli barangan di pasaran.
Kelima :
Para peniaga dan pekerja hendaklah sentiasa mengikut etika Islam dengan sentiasa
berwudhuk, menutup aurat, menjaga pergaulan bebas dan yang paling penting
menunaikan solat dan berzakat untuk menambahkan keredhaan dan keberkatan Allah
SWT.
Keenam :
Seseorang peniaga juga hendaklah
sentiasa menginfakkan sebahagian hartanya untuk
Islam, membantu golongan yang kurang bernasib baik dan kurang upaya kerana
inilah sebahagian punca rezeki yang kebanyakan peniaga tidak menyedarinya.
Oleh
itu, marilah kita meninggikan ekonomi umat Islam dengan melibatkan diri dalam
perniagaan yang sentiasa mendapat keredhaan, keberkatan dan keampunan Allah
SWT.
"Lelaki yang kuat
imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada
menyebut serta mengingati Allah dengan mendirikan solat dan menunaikan zakat,
mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar".
( An-Nur: 37)
sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.