Friday

ISLAM AGAMA YANG MUDAH

Islam adalah agama yang mudah dalam erti kata dapat dilaksanakan di semua keadaan, masa dan tempat serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Ia juga bermaksud Islam adalah agama yang bersifat sederhana, mudah, praktikal dan bertoleransi. Selain itu, pengikut agama Islam pula disifatkan sebagai ummatan wasatan iaitu umat yang sederhana, adil, tidak berat sebelah dalam hal dunia dan akhirat serta berimbang dalam seluruh aspek kehidupannya. Sifat Islam sebagai agama yang penuh kemudahan ini ditegaskan dengan jelas oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 6;

"Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu supaya kamu bersyukur".

Oleh kerana itu, maka tidak sewajarnya diberatkan atau disulitkan pengamalan Islam dengan sikap memberatkan perkara yang mudah dan menambah amalan-amalan yang membebankan sehingga melampaui batas kemampuan manusia. Sikap sebegini bukanlah daripada Islam. Islam tidak menyusahkan umatnya sebaliknya manusia itu sendiri yang menyusahkan diri mereka.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya agama ini mudah, dan tidaklah seseorang yang memberatkan urusan agamanya melainkan dia akan dikalahkannya (lemah dan tidak berupaya melaksanakannya), maka tepatkanlah (bersederhana), dekatkanlah (dengan mendekati kesempurnaan), bergembiralah (dengan amalan sedikit tetapi berterusan) dan mintalah bantuan dengan (melaksanakan ketaatan pada waktu-waktu yang membangkitkan semangat) di waktu pagi, petang dan penghujung dari waktu malam".                                                                                                                                                   (Riwayat al-Bukhari)

Islam adalah agama yang bersifat sederhana, mudah, praktikal dan bertoleransi. Antara beberapa perkara yang mencerminkan bahawa Islam itu merupakan agama yang mudah adalah:

Pertama      :       Syariat Islam dilaksanakan mengikut keutamaannya. Ibadah-ibadah wajib mestilah dilaksanakan terlebih dahulu kemudian disempurnakan atau ditambah dengan ibadah-ibadah sunat. Begitu juga perkara-perkara yang haram mestilah dijauhkan terlebih dahulu kemudian disempurnakan lagi dengan menjauhi perkara-perkara yang makruh. Ada pun perkara-perkara harus adalah dipertengahan, ianya boleh dilaksanakan atau ditinggalkan dan dalam Islam, perkara-perkara harus adalah yang terbanyak berbanding perkara wajib, sunat, haram dan makruh.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 36;

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata".                                                        
Kedua        :        Wujudnya konsep rukhshah atau keringanan dalam perlaksanaan syariat Islam. Konsep rukhshah dalam Islam wujud dalam semua aspek ibadah. Khususnya bagi mereka yang lemah tubuh badan atau berada dalam situasi darurat. Sebagai contoh solat yang wajib boleh dilaksanakan sama ada berdiri, duduk dan berbaring dalam keadaan-keadaan tertentu. Begitu pula puasa wajib boleh ditinggalkan ketika bermusafir dan digantikan puasa tersebut di hari-hari yang lain. Rasulullah s.a.w pernah menegur seorang sahabat yang lesu, lemah dan kepenatan kerana berpuasa dalam permusafiran. Hadis daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bukanlah termasuk kebajikan untuk berpuasa dalam perjalanan (jauh)".                              (Riwayat al-Bukhari)

Ketiga         :        Islam tidak meredhakan dan mendukung perlaksanaan ibadah yang membebankan. Rasulullah s.a.w pernah menegur seorang sahabat yang dilihat tersangat penat, lemah dan menderita dalam mengerjakan Haji. Nabi s.a.w bertanyakan para sahabat mengapakah beliau dilihat begitu? Para sahabat menjawab bahawa beliau melaksanakan Haji dengan berjalan kaki kerana nazar. Hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesunguhnya Allah tidak memerlukan tindakan penyiksaan diri sendiri, seperti yang dilakukan oleh orang itu".                                                                                                                                    (Riwayat al-Bukhari)

Demikianlah mudahnya ajaran Islam yang disifatkan sebagai rahmatan lil alamin atau agama rahmat untuk sekelian alam. Bahkan dalam sebuah riwayat Saidatina Aisyah RA pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW sendiri selalu memilih salah satu yang lebih mudah di antara dua perkara selama mana ianya tidak termasuk dalam perkara dosa.

Islam merupakan agama yang mudah, praktikal dan bertoleransi dalam erti kata ianya dapat dilaksanakan di semua tempat, sesuai pada setiap masa dan bertepatan dengan fitrah kejadian manusia.
Sikap al-Ghulu (?????????) dalam beragama dengan berlebih-lebihan dalam pegangan dan pengamalan hukum-hukum syariat serta mempersulit diri sendiri atau orang lain merupakan sikap yang dicela dan ditentang oleh agama Islam. Oleh itu, jadikanlah orang yang berilmu dan berpengetahuan dalam pengamalan Islam agar ianya bertepatan dengan tuntutan dan kehendak syarak dan agama yang bersifat sebagai rahmatan lil alamin iaitu agama rahmat untuk sekelian alam.
Kesimpulan dan pengajaran daripada khutbah hari ini adalah, merujuk kepada fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini bahawa wujud golongan yang menyusahkan diri sendiri dalam amalan beragama, membida'ahkan amalan-amalan orang lain yang selaras dengan kehendak sunnah dan ijmak ulama', memberatkan diri dengan amalan-amalan sunat sehingga menjejaskan kemampuan diri dan mengabaikan amalan-amalan wajib yang sepatutnya diutamakan.

"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu bebanan dan susah payah dalam perkara agama, sebagaimana agama bapa kamu, Ibrahim. Dia menamakan kamu: "orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah solat, dan tunaikanlah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan".  
                                                                                                                            (Al-Hajj : 78)

  sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.