Friday

GEJALA RASUAH MEMUSNAH NEGARA


Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 188:
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)".

Dewasa ini umat Islam sangat terdedah dengan gejala rasuah yang mana hal ini telah berlaku sejak zaman Nabi sehingga hari ini yang semakin meruncing di kalangan masyarakat Islam sendiri. Fenomena ini dianggap sebagai penyakit kronik sosial yang boleh dikatakan seperti penyakit barah dalam dunia perubatan yang mana ianya sukar untuk diubati dan akhirnya akan memberi kesan buruk kepada individu, masyarakat dan struktur pentadbiran sesebuah negara sekiranya tiada langkah-langkah pencegahan dilakukan dari awal lagi. Fenomena ini hendaklah diambil perhatian yang serius oleh semua pihak untuk membendungnya daripada terus menular.


Rasuah ialah suatu pemberian berupa sogokan yang diberikan kepada seseorang dengan sebab tertentu bagi membolehkan perkara yang dihajati dapat diperolehi atau diselesaikan dan sebagainya. Rasuah juga dikatakan sebagai suatu 'sogokan' atau 'makan suap' atau 'tumbuk rusuk' dan ia merupakan perbuatan yang keji dan dilarang disisi agama Islam.
Merebaknya rasuah dalam kehidupan masyarakat Islam pada hari ini bukanlah suatu perkara baru, tetapi ianya sudah mewarnai sejak masyarakat generasi dahulu. Namun keadaan rasuah yang sudah diketahui sejak dahulu lagi,  sifatnya adalah terhad dan perkembangannya tidaklah seteruk pada hari ini yang dirasakan sudah menjadi gejala yang umum yang dilihat seolah-olah tidak dipandang serius bahkan berlalu dengan begitu rancak.

Rasuah dari perspektif Islam adalah suatu perbuatan yang haram dan berdosa besar serta dilaknat baik kepada pemberi atau penerima itu sendiri.
Sabda Rasulullah s.a.w:

"Rasulullah s.a.w melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah".                                                                                    (Riwayat Ibnu Hibban)

Rasuah juga merupakan salah satu perbuatan yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah dan doa kita. Alangkah ruginya disebabkan perbuatan rasuah itu ibadah dan doa kita menjadi sia-sia, dan lebih membimbangkan lagi jika tidak segera membanteras gejala ini, ia boleh menyebabkan terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 112:
"Mereka ditimpa kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintah-Nya) dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah)".

Pengertian rasuah sebenarnya amat luas, seperti mana yang diketahui ia bukan hanya tertumpu kepada sudut kewangan semata-mata, tetapi ia juga termasuk penyalahgunaan jawatan dan kuasa diamanahkan untuk kepentingan diri, keluarga dan pihak tertentu.
Sebagai contoh, jika sekiranya sesorang itu memiliki kuasa untuk membuat pilihan dan meluluskan tender-tender, maka ia akan meluluskan mana-mana pihak yang memberikannya sogokan dan suapan tanpa menghiraukan pihak lain yang lebih layak dipilih. Begitu juga jika diamanahkan untuk mengambil pekerja, ia akan mengenepikan orang yang lebih layak menjawat jawatan dalam pekerjaan itu malahan akan mementingkan kroni-kroninya atau pihak yang menjanjikannya sesuatu imbuhan kepadanya.

Antara faktor-faktor utama penularan gejala rasuah yang perlu diketengahkan supaya dipandang serius oleh semua pihak adalah;

Pertama      :       Faktor politik sesebuah negara yang mana dilihat ramai pihak-pihak tertentu berlumba-lumba mencari kekayaan melalui politik, di mana penglibatan mereka di dalam politik bukan bertujuan untuk membela nasib rakyat, akan tetapi sebaliknya mengambil kesempatan dari kuasa dan kedudukan yang diamanahkan untuk mengaut keuntungan dan kekayaaan tanpa mengira batas-batas hukum dan undang-undang.

Kedua         :       Faktor sosial sesebuah negara yang mana lemahnya ilmu pengetahuan dan agama menyebabkan iman menjadi lemah serta pegangan terhadap nilai-nilai murni terlalu culas dan longgar. Malah ada sebahagiannya yang menganggap kepentingan untuk hidup mewah menjadi keutamaan tanpa menghiraukan soal halal dan haram.

Ketiga          :       Pengaruh budaya hidup bermewah-mewah dan kebendaan yang keterlaluan. Sehinggakan masyarakat mengabaikan soal halal dan haram dalam memperoleh sumber rezeki.
Dari faktor-faktor rasuah yang diutarakan, jelas membuka ruang kepada individu yang terlibat dengan gejala rasuah, memberikan kesan buruk kepada sesebuah negara yang mampu meruntuhkan moral masyarakat dalam negara, menyekat pembangunan, menjatuhkan ekonomi, menyebabkan kekayaan negara dibolot dan dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu dan menggugat keadilan di dalam sesebuah negara, sekaligus menafikan sistem demokrasi yang menjamin hak yang sewajarnya.

Mengakhiri khutbah ini, marilah sama-sama kita mengambil langkah-langkah pencegahan untuk membendung gejala ini iaitu:
1.   Memantapkan Iman dan menguatkan sahsiah diri kerana dengan keimanan dan keperibadian yang tinggi mampu menjadi benteng yang paling ampuh dan kuat untuk membanteras gejala rasuah. Apabila setiap individu menolak dan membenci amalan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin, atau jentera kerajaan maka gejala ini dapat diatasi.
2.   Memuatkan topik berkenaan rasuah dalam sistem pendidikan, gejala rasuah ini akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci kepada rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab dan amanah justeru membentuk generasi akan datang yang bebas rasuah.
3.   Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan memberatkan Hukuman, ia perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk menyelamatkan negara.
4.    Meningkatkan penerangan berkenaan rasuah baik dari sudut penerbitan atau penyiaran untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat tentang kesan dan bahayanya gejala ini jika ia semakin menular dan tidak dicegah dengan segera.
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan".
                                                                                                                               (Hud : 113) 
   sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.