Wasatiah merupakan satu ciri penting dalam Islam yang meletakkan keadilan menjadi rujukan bagi seluruh umat manusia sebagaimana yang telah disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat ke 143 ;
"Demikian juga Kami jadikan kamu wahai umat Muhammad sebagai umat terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi saksi terhadap umat manusia pada hari kiamat kelak dan Rasulullah pula akan menjadi saksi terhadap kamu...".
Berdasarkan ayat yang telah disebutkan di atas, para ulama' mentafsirkan wasatiah sebagai satu sifat adil, yang melayakkan umat ini menjadi saksi di hari akhirat atas perbuatan orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran dan menentang para rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Namun dalam pengertiannya yang lebih luas, wasatiah itu merangkumi ciri-ciri seperti berikut. Antaranya adalah;
1. Keadilan
2. Kebenaran
3. Keseimbangan
4. Kesempurnaan
5. Menepati fitrah
Wasatiah menjadi satu amalan yang amat penting kerana ia dapat menjamin wujudnya kesatuan di kalangan sesama umat manusia secara umumnya. Dengan sifat wasatiah ini, ianya mengutamakan ketaqwaan kepada Allah SWT tanpa membezakan bangsa, budaya, bahasa dan warna kulit.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 ;
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa antara kamu, (bukan kerana keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".
Wasatiah yang mengikut cirri-ciri yang sebenarnya itu amat berperanan sebagai tonggak kesatuan umat apabila tuntutan-tuntutan yang terkandung di dalamnya dapat diamalkan dengan baik oleh segenap lapisan masyarakat pada hari ini.
Antara tuntutan yang terkandung di dalam amalan wasatiah ini ialah supaya kita sentiasa bersikap adil mengikut syariat Islam; sama ada adil dalam membuat sesuatu keputusan, dalam menangani setiap perselisihan dalam memberikan hak kepada orang yang patut menerimanya.
Antara perkara yang dituntut juga di dalam amalan wasatiah ini ialah supaya kita sentiasa mengamalkan sikap bersungguh-sungguh, tekun dan istiqamah, sesuai dengan syariat Islam yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w tanpa meringan dan mengabaikannya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7;
"Apa jua yang diberikan oleh Rasulullah (sama ada pemberian atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat berat azab-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya)".
Jelaslah, bahawa sikap mengamalkan wasatiah yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menepati fitrah umat manusia seluruhnya.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 30 ;
"Maka hadapkanlah wajahmu (mengikhlaskan dirimu) kea rah agama Allah - fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidak patut ada sebarang perubahan pada agama Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".
Amalan wasatiah secara tidak langsung juga dapat mendidik kita semua agar tidak bersikap melampaui batas serta tidak bersifat taksub sehingga menafikan kebenaran dalam apa jua keadaan. Sikap-sikap negatif seperti ini sesungguhnya tidak akan dapat mewujudkan kesatuan di kalangan sesama umat manusia. Sebaliknya pula sikap ini hanya akan menjadi punca berlakunya perselisihan dan pesengketaan di dalam masyarakat yang ada pada hari ini.
Hadis daripada Jubair bin Mut'im bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
"Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang mengajak kepada asabiyyah, bukan dari kalangan kami sesiapa yang berjuang atas dasar asabiyyah dan bukan dari kalangan kami sesiapa yang mati kerana memperjuangkan asabiyyah".
(Riwayat Abu Daud)
Pengajaran yang dapat kita renungkan daripada khutbah hari ini ialah, amalan wasatiah mengandungi beberapa ciri penting yang menjadikannya sebagai tonggak kepada kesatuan umat. Antaranya adalah;
1. Mengutamakan prinsip keadilan di dalam masyarakat.
2. Mengutamakan keseimbangan dalam kehidupan.
3. Berpegang teguh kepada syariat Islam tanpa mengabaikannya.
4. Menjauhi sifat taksub yang boleh merosakkan diri sendiri dan orang lain.
"Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan serta menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin, maka Allah lebih mengetahui maslahat kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu mengikut hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan".
(An-Nisa': 135)
sumber: Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.