Al-Quran telah mengungkapkan sifat dunia sebagai keseronokan sementara yang sering memukau manusia.
Firman Allah SWT dalam Al-Hadid, ayat 20:
"Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan yang melalaikan serta perhiasan, juga bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; seumpama hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu engkau melihatnya kekuningan; akhirnya hancur bersepai. Sedangkan di akhirat ada azab yang berat dan ada pula keampunan besar serta keredaan dari Allah. Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah keseronokan bagi orang-orang yang terpedaya".
Justeru, kita sentiasa diingatkan supaya menjadikan akhirat sebagai matlamat kehidupan. Dunia pula kita jadikan sebagai ladang untuk mencari bekalan sebanyak-banyaknya.
Namun, keindahan dunia itu tetap memukau manusia termasuk diri kita sendiri. Kadang-kadang, tanpa kemampuan yang cukup pun, manusia masih berusaha untuk merasakan keseronokan dunia walaupun dalam tempoh yang sementara, seperti pada hari mereka menjadi raja sehari.
Hari ini, sudah menjadi fenomena bagi kebanyakan pasangan pengantin baru untuk meraikan hari yang istimewa dalam hidup mereka itu dengan pelbagai persiapan dan perbelanjaan. Seringkali, pengantin dihiasi dengan pakaian yang indah dan mahal, duduk di atas pelamin yang penuh dengan hiasan serta dilengkapkan dengan hidangan jamuan yang pelbagai menunya. Itu belum lagi mengambil kira hantaran yang berlebihan, hadiah cenderahati untuk para tetamu, kos menyewa dewan atau hotel, kos penyediaan makanan yang tinggi, persalinan pengantin dan kos penggambaran yang tinggi.
Sebenarnya, mengadakan walimah adalah sebahagian dari tuntutan agama. Justeru, ia perlu dilaksanakan dengan mematuhi kehendak agama. Sekiranya kita mahu mencapai keredhaan Allah, maka beberapa perkara perlu dielakkan dan diperhatikan:
Pertama : Perlumbaan memeriahkan majlis perkahwinan sering mendedahkan masyarakat kepada budaya bermewah-mewah yang boleh melupakan manusia kepada matlamat hidup di akhirat. Marilah kita melihat bagaimana Allah SWT menggambarkan sikap Qarun, seorang dari kaum Nabi Musa yang kemudian menjadi pembesar dalam kerajaan Firaun. Beliau telah mempamerkan kekayaannya kepada kaumnya sehingga menimbulkan fitnah dalam hati-hati mereka.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas, ayat 79:
"Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. Pada saat itu, berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik". Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di kalangan mereka): "Celakalah kamu (Janganlah kamu berkata demikian), pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar".
Jelaslah, penampilan Qarun dengan gaya mewahnya telah menyebabkan sebahagian dari Bani Isra'il terpesona dan membina angan-angan keduniaan. Samalah seperti majlis perkahwinan yang diadakan secara gilang-gemilang sehingga digelar "perkahwinan abad ini" (atau "wedding of the year"). Acara yang dipamerkan di televisyen dan majalah-majalah tertentu itu tentu mempesonakan ramai manusia. Mereka menatap wajah-wajah pengantin yang disolek serta rekabentuk perhiasan majlis yang dipamerkan. Lalu memasang angan-angan untuk melalui pengalaman yang sama. Apa yang lebih dibimbangi adalah timbulnya perasaan megah, menunjuk-nunjuk serta sifat takbur dalam hati.
Kedua : Perbuatan bermewah-mewah dalam majlis perkahwinan juga boleh menimbulkan irihati manusia lain. Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita agar berwaspada dalam menguruskan nikmat yang diberi oleh Allah SWT.
Sabda baginda SAW:
"Usahakanlah untuk menjayakan keperluan kamu dengan merahsiakannya, kerana sesungguhnya setiap orang yang memiliki nikmat itu didengki".
(Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani)
Oleh itu, kita sepatutnya menggunakan nikmat yang Allah SWT kurniakan dengan cara yang sederhana. Bukan mempamerkannya untuk tatapan orang ramai.
Ketiga : Perbelanjaan besar bagi meraikan perkahwinan merupakan suatu pembaziran, jika ia melampaui uruf dan kebiasaan masyarakat. Apatah lagi, sampai keluarga pengantin terpaksa meminjam wang untuk menjayakan majlis itu. Kadang-kadang, walaupun anak daripada perkahwinan itu sudah berderet, namun hutang belanja perkahwinan belum habis-habis dibayar.
Mimbar Jumaat menyeru kaum Muslimin sekalian agar bersederhana di dalam kehidupan, termasuk dalam menguruskan majlis perkahwinan. Janganlah pula kita membazir dalam soal perbelanjaan perkahwinan. Bukankah orang-orang yang membazir itu saudara syaitan. Syaitanlah yang membisikkan kita supaya berbelanja berlebihan dalam menghebahkan perkahwinan.
Sedangkan kos perbelanjaan yang besar itu lebih baik digunakan untuk kehidupan pasangan selepas perkahwinan, bukan dihabiskan dalam masa sehari dua sahaja. Semoga penjimatan itu akan mendatangkan keberkatan kepada keluarga yang baru dibina itu. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW:
"Perempuan (calon isteri) yang lebih besar keberkatannya adalah yang lebih ringan maskahwinnya".
(Hadis riwayat Ahmad, al-Bayhaqi dan al-Nasa'i)
Kaum lelaki yang menjadi suami dan ketua keluarga perlu bertanggungjawab dalam mengawal dan menasihati ahli keluarga, khususnya isteri-isteri supaya tidak bermewah-mewah dalam menganjurkan majlis perkahwinan anak kesayangan mereka. Tahukah kita, ketika Sayyidina Ali KRW berkahwin dengan Sayyidatina Fatimah RA, maskahwin yang disediakan hanyalah sebentuk cincin besi. Siapakah anak kita berbanding Sayyidina Ali, dan siapakah pula calon isterinya berbanding Sayyidatina Fatimah, puteri rasulullah yang agung.
Jika kita tetap mahu berbelanja, adalah lebih baik perbelanjaan itu digunakan sebagai sumbangan untuk orang-orang miskin dan anak yatim sempena perkahwinan itu. Atau, kita mengundang mereka makan bersama dalam majlis keraian kita secara percuma.
Semoga sikap berhemat dalam hidup ini akan menghindarkan kita dari penyakit cintakan dunia, menimbulkan kedengkian mahupun sifat riak dan bermegah dalam hati.
"Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau (26). Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya". (Al-Israa' : 26-27)
sumber: Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.