Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulNya ke alam ini adalah daripada kalangan hamba-Nya yang terpilih.
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan makhluk-Nya, maka
menjadikan aku yang terbaik dari mereka dalam golongan yang terpilih,
kemudian menjadikan mereka dua golongan, dan menjadikan aku yang terbaik
dari mereka dalam golongan itu. Kemudian menjadikan mereka
bersuku-suku, dan menjadikan aku yang terbaik dalam suku itu. Kemudian
menjadikan mereka dalam keluarga-keluarga, dan Allah menjadikan
keluargaku yang terbaik di dalam semua keluarga mereka, dan yang terbaik
dalam keturunan".
(Riwayat At-Tirmidzi)
Pengutusan Rasulullah S.A.W juga telah membawa kesan yang sangat besar pada penduduk dunia dan seluruhnya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107:
"Tiadalah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".
Ini bermula dengan wahyu pertama yang diberikan kepada Baginda s.a.w
yang berupa tarbiyyah dan didikan bermulanya sesuatu itu dengan
pembacaan, pemahaman dan pembelajaran.
Firman Allah SWT dalam surah Al-‘Alaq ayat 1;
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)".
Ayat tersebut mengajar kita bahawa pembudayaan ilmu bermula dengan
asas iqra' sebagaimana Allah SWT menghantarkan Malaikat Jibril untuk
mentarbiyyah dan mengajar Muhammad S.A.W membaca. Kemudian dengan itu
Nabi mempelajari serta memahami tauhid dan aqidah. Selanjutnya mengenali
erti kehidupan di dunia mesti berlandaskan padanya dan berlandaskan
syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT sehinggalah kesejahteraan di
akhirat itu dapat diraih.
Inilah hasil tarbiyyah yang diberikan kepada para sahabat Rasulullah
S.A.W sehingga mereka mampu mengubah landskap dunia daripada kesesatan
jahiliyyah kepada kebenaran Islam.
Jaminan keberlangsungan dan penghormatan dunia kepada Islam adalah
juga tertakluk kepada sejauh mana umat Islam unggul dalam bidang ilmu
pengetahuan dan mampu berdaya saing di persada dunia yang penuh
mencabar. Tanpa ilmu dan pengetahuan umat Islam akan ketinggalan dan
mundur.
Allah SWT juga mentarbiyyah Rasulullah S.A.W untuk mengamalkan ilmu
yang telah dipelajarinya supaya dilaksanakan dalam bentuk amalan biasa
atau ibadah. Ini dapat dilihat Rasulullah SAW ditarbiyyah oleh Allah
supaya bangun malam, beribadah dan membaca al-Quran.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Muzammil ayat 1-5;
"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah di waktu malam (untuk
bersolat tahajjud), kecuali sedikit masa (yang diperuntukkan untuk
berehat), iaitu separuh daripada waktu malam, atau kurangkan sedikit
daripada waktu itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah
al-Quran dengan ‘tartil' (perlahan-lahan), sesungguhnya Kami akan
menurunkan kepadamu perkataan yang berat (wahyu yang mengandungi
perintah-perintah yang berat)".
Ibadah yang kita lakukan hendaklah benar-benar khusyuk sehingga dapat
kita merakan kelazatan hubungan kita dengan Allah SWT dan merasakan
kepuasan dari ibadah yang kita kerjakan itu. Bahkan kita hendaklah
merasa tamak dalam beribadah yakni tidak cukup dengan apa yang telah
kita lakukan. Kita akan sentiasa berusaha untuk menghampirkan diri
kepada Allah SWT dengan melakukan ibadah-ibadah sunat seperti melakukan
qiamullail dan sebagainya. Sesungguhnya qiamullail adalah merupakan
perkara yang paling kuat yang dapat memelihara dan mengukuhkan iman
kita.
Firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 6;
"Sebenarnya beribadah malam itu lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tepat bacaannya".
Ibadah itu bukan hanya sekadar si hamba itu melahirkan tanda syukur
kepada Allah SWT malah yang lebih penting ialah sejauh mana ibadah itu
dapat membawa si hamba itu menghampirkan diri dengan lebih dekat kepada
Allah SWT. Sesungguhnya Islam menuntut supaya seluruh kehidupan ini
hendaklah berjalan di dalam rangka ibadah dan taat hanya kepada Allah
SWT. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT dalam surah
Az-zariat ayat 56;
"(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku".
Oleh itu, untuk menjadikan ibadah kita keseluruhannya di dalam rangka
mengabdikan diri kepada Allah maka perlulah kita berhubung terus dengan
Allah SWT dalam apa jua perkara yang hendak kita lakukan. Kita sentiasa
menghubungkan hati kita dengan Allah SWT sehingga dapat kita merasakan
apa yang disebut sebagai ihsan yakni kita melakukan ibadah kepada Allah
seolah-plah kita melihat-Nya, meskipun kita tidak melihat-Nya maka kita
yakin bahawa Allah melihat apa yang kita lakukan.
Kita juga hendaklah sering membaca dan mengamati al-Quran terutamanya
di waktu fajar kerana bacaan di waktu itu adalah sangat afdhal.
Fahamilah isi kandungannya agar jiwa kita merasa peka dan terkesan hasil
berdamping dengan al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah Shaad ayat 29;
"(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan
umatmu wahai Muhammad), Kitab yang penuh keberkatan untuk mereka
memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang yang
berakal sempurna beringat mengambil iktibar".
Di samping itu juga, kita hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah SWT
di dalam apa jua urusan dan perkara baik yang hendak kita kerjakan
kerana doa adalah intipati bagi segala ibadah. Allah SWT berfirman dalam
surah Ghafir ayat 60;
Tuhan kamu berfirman : "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu...".
Kewajipan seterusnya yang merupakan tanggungjawab Rasul menyampaikan
risalah tauhid di atas muka bumi ini telah dilaksanakan sepenuhnya oleh
Baginda SAW. Arahan Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya agar bangun serta
memberikan peringatan atau amaran kepada kaumnya, memberikan pengajaran
dan isyarat kepada golongan ilmuan Islam dan umat Islam seluruhnya
supaya tugas menyeru umat kepada Islam serta memberikan peringatan itu
adalah merupakan tugas yang wajib dilakukan khususnya dewasa ini apabila
umat semakin jauh meninggalkan Islam. Firman-Nya dalam surah
al-Muddasthir ayat 1-5;
"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan
dan amaran (kepada umat manusia) dan kepada Tuhanmu, maka ucaplah dan
ingatlah kebesaran-Nya! Dan (pada) pakaianmu, maka hendaklah engkau
bersihkan, dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi".
Inilah perjalanan tarbiyyah yang dilakukan oleh Allah SWT kepada
Rasul-Nya dan telah memberikan isyarat dan pengajaran kepada kita bahawa
setelah proses mendalami ilmu pengetahuan, pengukuhan diri dengan amal
ibadah kepada Allah SWT kemudian tugas berdakwah dan memberikan
peringatan adalah merupakan tugas yang mesti dilaksanakan.
Hebatnya Rasulullah SAW di persada dakwah dan jihad adalah hasil
dedikasi Baginda dengan berpaut, bertawakkal dan bertaqarrub dengan
Allah SWT.
Kesimpulannya, pengajaran yang kita boleh ambil daripada khutbah pada hari ini ialah;
Pertama :
Memperkukuhkan diri dengan ilmu pengetahuan adalah asas kepada kejayaan seorang mukmin.
Kedua :
Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan beramal ibadah sehingga peringkat ‘ihsan'.
Ketiga :
Tadabbur bacaan al-Quran dan menghayati isi
kandungan, memahami serta melaksanakan segala hukum-hakamnya.
Keempat :
Bertawakkal kepada Allah setelah berusaha dan berdoa adalah merupakan senjata bagi kejayaan seorang mukmin.
Kelima :
Kewajipan berdakwah dan menyeru umat kepada Islam adalah tanggungjawab utama ke atas umat Islam.
"Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang Rasul
dengan perintah : "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut
(syaitan dan apa sahaja yang disembah selain Allah)". Maka antara mereka
ada yang diberi hidayah oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa
kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah
bagaimana kesudahan umat-umat yang mendustakan (rasul-rasul mereka)".
(Al-Nahl: 36)
sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.