Berhibur adalah fitrah semulajadi manusia. Hiburan
merupakan suatu perkara yang disenangi oleh naluri insan. Kebanyakan manusia
menjadikan hiburan sebagai saluran kreativiti yang mencerminkan gambaran
pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Hiburan juga adalah gabungan keindahan
seni, kehalusan bahasa dan keunikan budaya manusia yang mampu mententeramkan
jiwa dan melahirkan kegembiraan. Sebagai agama yang menepati keperluan fitrah,
Islam tidak menghalang umatnya berhibur, namun hiburan di sisi Islam perlu
disuluh dan dipandu mengikut nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam.
Hadis daripada Khalid bin Zakwan RA bahawa Al-Rubai'
binti Mua'wiz menceritakan:
"Nabi s.a.w telah mengunjungiku di hari perkahwinanku,
baginda mengambil tempat duduk di atas hamparanku, sepertimana kamu berada
dihadapanku sekarang. Ketika itu sekumpulan hamba
perempuan sedang memukul gendang sambil menyanyi dan memuji pejuang-pejuang
yang terqurban di kalangan bapa-bapa kami di perang Badar. Salah seorang
penyanyi tersebut menyebut: "Bersama kami nabi Allah yang mengetahui apa yang
akan berlaku esok hari." Mendengar lirik terakhir itu Rasulullah s.a.w
menegurnya: Tinggalkan kata-kata itu dan teruskan dangan apa telah kamu
nyanyikan sebelumnya". (Riwayat al-Bukhari)
Sebagai seorang muslim, kita hendaklah meyakini bahawa
cara hidup Islam adalah yang amat sempurna dan pasti dapat memenuhi kesemua
aspek keperluan hidup manusia. Syariat Islam diturunkan bukanlah untuk menyekat
kebebasan manusia tetapi ia bertujuan untuk mengawal dan mengatur keperluan
manusia untuk menjamin kesejahteran dan kebahagiaan hidup yang berpanjangan.
Hiburan dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa. Bahkan
melakukannya bukan hanya semata-mata untuk mencari keseronokan dan memenuhi
runtunan nafsu tanpa batasan.
Konsep berhibur dalam Islam adalah dengan tujuan untuk
membangunkan dan memdamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta
jasmani. Persoalannya, bagaimanakah gaya dan cara berhibur yang kita lakukan
pada hari ini? Adakah ia selari dengan apa yang digariskan oleh syariat Islam?
Apakah hiburan tersebut benar-benar mententeramkan jiwa kita dan tiada terpalit
dengan unsur-unsur noda dan dosa?
Melihat kepada realiti hiburan kita pada hari ini, dapat dirumuskan
bahawa sebahagaian besar hiburan kita gagal mencapai matlamatnya. Bukan sahaja
hiburan tersebut gagal memberi ketenangan jiwa dan kedamaian dalam sanubari
kita, malah ia telah mencetuskan masalah dan kecelaruan di dalam kehidupan. Ini
kerana hiburan tersebut tidak berpandukan kepada garis panduan yang telah
ditetapkan oleh syariat. Ia hanya bertujuan memenuhi runtunan nafsu
semata-mata. Hiburan yang ada bukan sahaja tidak mendidik jiwa, malah mendorong
kepada kelalaian, maksiat dan pergaulan bebas yang akhirnya mengundang kepada
gejala sosial yang merosakkan kesejahteraan hidup umat Islam. Melihat kepada
realiti ini, dapat dipaparkan ciri-ciri hiburan mengikut syariat Islam untuk
kita jadikan bahan perbandingan dan penilaian seperti berikut :
Pertama :
Lagu
dan senikata lagu atau hiburan tersebut mestilah tidak melalaikan, tidak
bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam, tiada unsur maksiat seperti
memuja kecantikan wanita, menganjurkan hubungan bebas muda-mudi dan
perlanggaran syariat. Sewajarnya senikata lagu-lagu Islam mampu mengajak
manusia kepada Cintakan Allah dan Hari Akhirat serta ke arah memperbaiki diri.
Kedua :
Tidak
lalai dan berlebih-lebihan dalam berhibur sehingga hak-hak Allah dan kewajipan
yang lain terabai. Maka haram berhibur jika sampai meninggalkan solat,
mengabaikan urusan mencari nafkah dan menuntut ilmu. Kelalaian ini adalah perkara sia-sia yang wajib dijauhi
sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 55 :
"Dan
apabila mereka mendengar perkataan Yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya
sambil berkata: "Bagi Kami amalan Kami dan bagi kamu pula amalan kamu;
Selamat Tinggalah kamu; Kami tidak ingin berdamping Dengan orang-orang Yang
jahil".
Ketiga :
Tiada
percampuran di antara lelaki dan wanita ajnabi dalam berhibur. Jika persembahan
dari kalangan wanita maka ia hendaklah dibuat secara tertutup dan hanya wanita
sahaja dibolehkan menyaksikan persembahan tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan
segala fitnah dan punca kerosakan Umat Islam. Tiada juga perlakuan yang haram
seperti minum arak, unsur judi dan sebagainya di dalam hiburan tersebut. Hadis
daripada Abu Malik Al-Asy'aari R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :
"Sesungguhnya
sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama
asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi
perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan
menjadikan mereka kera dan khinzir"
(Riwayat Ibnu Majah)
Keempat :
Penyanyi
atau orang yang melakukan persembahan dan para penonton yang hadir hendaklah
menjaga tata susila Islam, memelihara aurat, tidak melakukan gerak badan yang
mengghairahkan dan penampilan yang mengundang fitnah.
Kelima :
Menghasilkan
sesuatu yang baik susulan dari hiburan tersebut. Berkat dari senikata yang
baik, persembahan yang sopan dan syariat yang dipelihara akan lahirlah
masyarakat yang tenang dan bahagia, teguh iman dan baik akhlaknya, bersatu
padau dan berkasih sayang sesama mereka.
Kini
telah banyak sumber-sumber hiburan Islam yang boleh dijadikan alternatif kepada
hiburan yang sedia ada yang jelas melalaikan. Banyak usaha yang telah dibuat
untuk membangunkan hiburan Islam dengan kemunculan kumpulan-kumpulan nasyid dan
halaqah-halaqah zikir. Kita juga telah faham bahawa tujuan berhibur dalam Islam
ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan indah budi
pekertinya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang
penyakit, tetapi juga yang terhindar dari permasalahan emosi, kecelaruan minda
dan jiwa, bebas dari tekanan masalah rumahtangga, tempat kerja dan sebagainya. Semua ini
terhasil kerana hiburan Islam memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat
mendidik dan menenangkan jiwa. Justeru sebagai umat Islam kita perlu bijak
memilih hiburan dan cara untuk berhibur. Sesungguhnya, hiburan yang sebenar
adalah hiburan yang mengingatkan kita kepada Tuhan Maha Pencipta, Allah SWT.
Marilah kita imbas kembali intipati penting perbahasan
khutbah hari ini. Antaranya :
Pertama :
Islam
adalah agama fitrah. Justeru, Islam mengharuskan hiburan sebagai memenuhi
tuntutan fitrah yang bersesuaian dengan garis panduan syariat.
Kedua :
Hiburan
di dalam Islam adalah sesuatu yang dilakukan bertujuan mendidik jiwa dan
menghasilkan ketenangan sanubari di samping melahirkan kegembiraan dan
keseronokan berhibur.
Ketiga :
Kita
perlu memastikan dan memilih hiburan yang berlandaskan syariat untuk menjamin kejayaan
di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
"Dan ada di antara manusia: orang
Yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan
perkara-perkara hiburan Yang melalaikan; Yang berakibat menyesatkan (dirinya
dan orang ramai) dari ugama Allah Dengan tidak berdasarkan sebarang
pengetahuan; dan ada pula orang Yang menjadikan ugama Allah itu sebagai
ejek-ejekan; merekalah orang-orang Yang akan beroleh azab Yang menghinakan."
(Luqman : 6)
sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.