Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang
telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta
ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan
memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w serta berusaha
melaksanakan segala sunnahnya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat
kepada kita di dunia dan di akhirat.
Marilah sama-sama kita
menghayati khutbah yang bertajuk: "Menangkis Penghinaan Terhadap Nabi
Muhammad S.A.W".
Kita
menyedari bahawa penghinaan terhadap Baginda Nabi Muhammad saw bukan suatu
perkara yang baru, malah ia telah berlaku sejak awal Baginda saw diutuskan
lagi. Pelbagai cacian, dan penghinaan yang dilakukan musuh Islam seperti Abu
Lahab dan Abu Jahal serta kaum musyrikin Makkah dalam cubaan untuk menghalang
dan menyekat perkembangan agama yang
diredhai oleh Allah SWT. Mereka menuduh Nabi gila, ada yang menghina Nabi
sebagai pemecah belah masyarakat dan tidak kurang ada yang mengatakan Nabi
sesat dan sebagainya.
Kita
menyedari bentuk-bentuk penghinaan terhadap Baginda saw berlaku mengikut
peredaran zaman. Bermula daripada zaman Baginda saw sehingga kini. Namun kita
yakin dan percaya bahawa Allah SWT sentiasa membela dan memelihara rasul
tercinta daripada fitnah ini.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr ayat 95-96:
"Sesungguhnya
Kami tetap menjagamu daripada kejahatan orang Yang mempersendakanmu, (Iaitu)
mereka yang mengadakan Tuhan yang lain selain Allah, maka mereka akan
mengetahui (akibatnya)".
Sedarlah
wahai Umat manusia bahawa golongan yang mempersendakan Rasulullah s.a.w ini
akan di azab oleh Allah sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat
61:
"Dan
orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih".
Kita
menyedari bahawa usaha-usaha ini telah didalangi oleh gerakan zionis Yahudi
antarabangsa bagi menyesatkan Umat Islam
khususnya generasi muda atau ‘Y' ini agar keliru dan tidak yakin dengan Islam
sebagai agama sebenar. Musuh-musuh Islam melancarkan propaganda dan kebencian
terhadap Islam melalui pelbagai langkah negatif seperti menerbitkan video
anti-Islam, pemaparan siri-siri karikatur menghina nabi seperti yang
diterbitkan oleh sebuah akhbar di Denmark, karikatur menghina Nabi juga pernah
dipamirkan di pusat warisan di Sweden, Nabi Muhammad saw digambarkan sebagai
seorang pengganas dan sebagai seorang yang tidak bermoral, dan yang terkini pada bulan September tahun
2012 satu lagi karikatur anti-Islam yang memfitnah nabi di sebuah
majalah mingguan di Perancis juga atas tujuan yang sama telah diterbitkan atas
tujuan menghina dan menyakiti Umat Islam.
Apa
yang sangat mendukacitakan kita ialah terkadang muncul golongan yang
berketurunan Islam tanpa rasa malu dan tanpa rasa bersalah telah turut serta
menghina junjungan besar Rasulullah saw ini seperti Salman Rushdie seorang warga Iran dengan karyanya
"The Satanic Verses". Muncul pula Taslima Nasreen warganegara
Bangladesh yang menulis karya menghina Nabi sehingga karyanya diulang cetak di
Negara Barat yang membolehkan beliau hidup disalut kekayaan serta diberi
perlindungan di Negara Barat. Di Negara Timur Tengah pula muncul seorang
penulis novel warganegara Syria iaitu Haidar Bin Haidar yang bermastautin di
Mesir sewaktu zaman Hosni Mubarak yang telah memalsukan watak sebenar Nabi saw,
Saidatina Khadijah dan Saidatina Aishah di dalam novel karangannya yang
dipenuhi penghinaan terhadap Rasulullah saw.
Begitu
juga kadangkala muncul sebahagian di kalangan Umat Islam termasuk pemimpinnya
yang jahil tentang selok belok agama dan Sirah Nabi saw telah cuba
memutarbelitkan fakta berkenaan Sirah dan Sunnah Baginda, menyatakan hukum
Islam hanya sesuai di zaman nabi tidak
sesuai zaman hari ini, juga menutup
aurat hanya kerana orang Arab adalah kuat nafsu. Orang Arab berjanggut kerana
dahulu tidak ada pisau jilid adalah
sebahagian siri-siri penghinaan terhadap Rasulullah saw tanpa disedari.
Kita mungkin tidak begitu pasti
mengenai motif penghinaan terhadap Rasulullah saw dan agama Islam ini.
Lebih-lebih lagi sekiranya kenyataan berupa penghinaan itu datang daripada
mereka yang mengaku beragama Islam sendiri. Adakah ia bertujuan mengelirukan
orang Islam dari segi akidah dan syariatnya atau adakah penghinaan itu
bertujuan menjatuhkan agama Islam itu sendiri? Umat Islam perlu menjadi
sensitif mengenai perkara ini dan kita tidak boleh membiarkannya berterusan
berlaku begitu saja.
Oleh itu, dalam menangani perkara sebegini Umat Islam
hendaklah sentiasa berada di barisan hadapan dengan mengambil pendekatan yang
bersesuaian serta mampu menangkis penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. Ia
memerlukan sifat berani sebagai penentu, bukan semata-semata sebagai pemerhati,
berdiam diri dan pasif tanpa sebarang tindak balas. Umat Islam hendaklah
sentiasa mengambil langkah-langkah wajar bagi menangkis serangan-serangan musuh
Islam seperti:
1. Umat
Islam mestilah meneladani Rasulullah s.a.w dalam semua tindakan, ucapan, akhlak
dan keseluruhan kehidupannya. Inilah merupakan resipi utama untuk menangani
penghinaan terhadap Rasulullah saw dan Agama Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 31:
"Katakanlah
(Wahai Muhammad): "Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku,
nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (Ingatlah),
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang".
2. Umat
Islam wajib membela dan mempertahankan peribadi Rasulullah s.a.w, memperjuangkan serta melaksanakan ajarannya.
Firman
Allah SWT dalam Surah al-Fath ayat 8-9:
"Sesungguhnya
Kami telah mengutusmu (Wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (terhadap
umatmu di akhirat kelak), pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman), dan
pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). (Kami mengutusmu, Wahai Muhammad)
supaya kamu (engkau dan umatmu) beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan agama-Nya
dan memuliakan-Nya, serta supaya kamu bertasbih (beribadah) kepada-Nya pada
waktu pagi dan petang".
3. Wajib
ke atas Umat Islam memerangi orang yang memerangi agamanya serta wajib
mempertahankan agama daripada musuh-musuhnya.
Firman
Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 39:
"Perangilah
mereka sehingga tidak ada lagi fitnah (syirik), dan supaya agama itu
semata-mata untuk Allah. Kemudian jika mereka berhenti (daripada kekufurannya
dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana
sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan".
4. Wajib
ke atas Umat Islam menolong dan memperjuangkan agamanya agar ianya sentiasa
dihurmati dan dimuliakan.
Firman
Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 7-8:
"Wahai
orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah
membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu. (Sebaliknya)
orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka, dan (Allah)
mensia-siakan amalan mereka".
5. Wajib
ke atas Umat Islam memberitahu dan menjelaskan bahawa orang-orang yang menghina
Nabi akan diazab dan diseksa semenjak di dunia ini lagi.
Firman
Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 57:
"Sesungguhnya orang yang melakukan perkara
yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, maka Allah melaknat mereka di dunia dan di
akhirat, serta menyediakan untuk mereka azab yang menghina".
6. Umat
Islam dikehendaki memperbanyakkan selawat dan memperbanyakkan
menyebut-nyebutnya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 56:
"Sesungguhnya
Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan
kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman,
berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan
penghormatan yang sepenuhnya".
7. Sangat
berharap dan rindu untuk bertemunya sekalipun terpaksa mengadaikan harta dan
keluarganya.
Hadis
Nabi s.a.w riwayat Muslim:
"Di
antara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku,
salah seorang daripada mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa
mengadaikan keluarga dan hartanya".
8. Umat Islam mesti berani mendepani medium dakwah
bentuk baru untuk menarik minat generasi muda agar berjinak-jinak mendekati
Islam melalui wasilah hiburan, sukan, filem, internet dan sebagainya yang tidak
bercanggah dengan syariat demi kelangsungan Islam di samping penerapan budaya
ilmu, cintai masjid dan sebagainya.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 125:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan
hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan
mereka dengan cara yang terbaik...".
9.
Tindakan menghina
nabi adalah perlakuan jenayah dan wajib ke atas pemerintah Islam mengambil
tindakan sewajarnya ke atas pelakunya.
Marilah
Muslimin sidang Jumaat sekalian, kita kembali melaksanakan segala sunnah
baginda dan memperjuangkan Islam agamanya.Tanpa jihad dan pengorbanan pasti
akan gagal bagi kita mempertahankan agama tercinta ini daripada anasir-anasir
jahat dan musuh-musuh yang sentiasa berusaha untuk mengalahkan kita.
"Dan sesiapa Yang
menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran
pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan Yang lain dari jalan
orang-orang Yang beriman, Kami akan memberikannya Kuasa untuk melakukan
(kesesatan) Yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan
memasukkannya ke Dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah
seburuk-buruk tempat kembali".
(An-Nisa' : 115)
sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.