Friday

KESUKARELAAN BUKAN PILIHAN, TETAPI SATU TANGGUNGJAWAB


Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w di samping sentiasa berusaha melaksanakan segala sunnahnya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.
Bersempena dengan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan tahun ini, mimbar Jumaat pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk "KESUKARELAAN BUKAN PILIHAN, TAPI SATU TANGGUNGJAWAB".

Perkataan kesukarelaan membawa erti yang amat bermakna. Ia disamaerti dengan perbuatan yang ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang ganjaran bagi tujuan yang murni. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa sesebuah tamadun yang maju mestilah mempunyai sebuah masyarakat yang memiliki semangat kesukarelaan yang tinggi. Justeru, kesukarelawan merupakan pelengkap kepada pembangunan sesebuah masyarakat atau negara. Tanpa semangat kesukarelawan yang tinggi dalam kalangan individu dan kumpulan dalam sesebuah organisasi, kejayaan membangunkan masyarakat dan negara tidak akan tercapai dengan sempurna. Di Malaysia, semangat kesukarelaan sememangnya telah lama berakar umbi dalam kalangan rakyatnya. Ini dapat dilihat daripada amalan adat resam semua kaum seperti gotong-royong dan seumpamanya.

Semangat kesukarelaan dan kerjasama memang sudah menjadi tonggak budaya dan cara hidup, khususnya di kawasan kampung sehingga wujudnya peribahasa yang mengatakan, umpama yang buta meniup tepung; yang pekak membakar meriam: yang capek menghalau ayam; yang kurap menyiang buluh. Ia menggambarkan kerelaan dan kebanggaan setiap anggota masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing ke arah pencapaian matlamat baik dan murni setiap kelompok masyarakat.

Bagi masyarakat orang Islam, kesukarelaan itu memang diajar, digalak dan didorong oleh agama kerana agama Islam amat menggalakkan dan menuntut kita supaya hidup saling tolong-menolong, bantu-membantu ke arah kebaikan secara ikhlas dan sukarela. Perbuatan demikian memang sudah terbukti boleh menimbulkan perasaan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan sayang-menyayangi di antara satu sama lain. Jika amalan sedemikian wujud dalam kalangan umat Islam, orang bukan Islam pun akan mengamalkannya. Masyarakat majmuk, inilah yang akan membina kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 2:
"Dan hendaklah kamu bantu-membantu  untuk membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah pula kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah); dan  bertaqwalah kepada Allah, sesunggunya Allah amat berat azab-Nya". 

Sifat tolong-menolong dan semangat kesukarelawan boleh diamalkan dalam pelbagai cara atau kaedah seperti sumbangan kewangan, harta benda dan sebagainya atau dengan sumbangan tenaga dan nasihat seperti bantu-membantu dalam mencegah maksiat, jenayah, kekasaran, penipuan dan seumpamanya.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan  menangani permasalahan yang berkaitan dengan dadah. Peranan utamanya ialah untuk menentukan segala usaha negara menangani ancaman dadah berjalan secara terancang, terarah dan selaras dengan matlamat akhirnya untuk mewujudkan satu masyarakat dan Negara yang bebas daripada dibelenggu permasalahan dadah.

Setiap tugas yang dirancang dan dibentuk untuk menjalankan peranan itu adalah sangat mencabar. Setiap tugas itu merupakan tanggungjawab, dan tanggungjawab ini tidak mampu dilakukan oleh AADK secara bersendirian. Usaha sedemikian memerlukan sokongan, dorongan dan bantuan daripada semua pihak dalam masyarakat. Yang penting sekali ialah kerjasama dari orang ramai untuk sama-sama menyertai pelbagai program dan aktiviti yang telah dirancang dan dilaksana dengan penuh semangat kerelaan dan keikhlasan.
Maka, dalam hal ini kita mengharapkan supaya masyarakat sama-sama berganding bahu dan terlibat sama-sama dalam mengesan dan mengadakan aktiviti bagi memerangi penyalahgunaan dadah yang ada dalam komuniti masing-masing. Tidak kiralah sama ada masyarakat yang tinggal di bandar, pedalaman ataupun di perairan negara ini, mereka perlu membantu dan bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berkenaan. Sekurang-kurangnya masyarakat setempat dapat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai apa-apa kegiatan penyalahgunaan dadah yang berlaku di tempat masing-masing. Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu maka hendaklah mengubah dengan lisannya, sekiranya tidak mampu maka hendaklah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman".
                                                                                                                        (Riwayat Muslim)

Jika berlaku kemungkaran seperti penyalahgunaan dadah, maka masyarakat juga tidak terlepas dari mengambil inisiatif mencegahnya mengikut kemampuan masing-masing. Tetapi jika tidak berkemampuan mencegahnya, maka laporkanlah kepada pihak berkuasa, kerana ini juga berupa suatu langkah pencegahan dan bantuan kepada komuniti setempat yang berhadapan dengan gejala dadah.

Dalam usaha untuk memastikan semua pihak merasakan bertanggungjawab untuk membanteras permasalahan dadah, maka AADK telah menubuhkan Sukarelawan Antidadah atau lebih dikenali sebagai (SKUAD 1MALAYSIA). Matlamat utama penubuhan ini ialah supaya semua sukarelawan ini bertindak dan bergerak sebagai satu pasukan yang membantu pihak kerajaan, khususnya dalam menangani masalah dan ancaman dadah.

Objektif Skuad 1Malaysia adalah seperti berikut:
1.      Memberi kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada masyarakat;
2.      Memberi pertolongan dan sokongan kepada mereka yang menghadapi masalah dadah; dan
3.      Menjadi agen penyalur maklumat dan mempromosi perkhidmatan AADK.
Khatib ingin mengambil kesempatan melalui mimbar pada hari ini, menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk menyertai serta memberi sokongan serta kerjasama kepada SKUAD ini. Semoga dengan penyertaan, sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dapat mewujudkan gelombang kesukarelawanan ini seiring dengan tuntutan Islam untuk mengatasi permasalahan dadah dalam negara ini. Gelombang kesukarelawan ini perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat di Malaysia, kerana itulah senjata yang sebaik-baiknya untuk memerangi masalah yang amat kian genting dan berbahaya ini.
Rasulullah s.a.w.  bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang ramai (orang awam) dengan perbuatan orang-orang yang sedikit sehingga orang ramai tadi melihat kemungkaran di hadapan mata mereka dan mereka berkuasa untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Sekiranya mereka berbuat demikian, maka Allah akan menurunkan azab-Nya kepada orang-orang yang sedikit tadi dan orang ramai (orang awam)".                                                                                                   (Riwayat Ahmad)

Pengajaran daripada hadis ini jelaslah kepada kita bahawa setiap individu adalah bertanggungjawab dalam mencegah kemungkaran dan menyuruh berbuat kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat mengikut kemampuan dan kuasa masing-masing. Oleh itu, marilah kita sama-sama berganding bahu berusaha memelihara kesejahteraan dan keharmonian negara kita khususnya dengan menangani masalah dadah. Mudah-mudahan kehidupan kita aman sejahtera dan mendapat perlindungan daripada Allah SWT.
          "Kamu ( wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya) tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang  beriman, dan kebanyakan mereka; adalah orang-orang yang fasik".
                                   (Ali-Imran : 110)

 sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.