Friday

"PENDIDIKAN ANAK-ANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA"


Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Muslimin sekalian, supaya  sentiasa mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam erti kata yang sebenarnya. Marilah kita melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya, dan meninggalkan segala bentuk tegahan dan larangan-Nya, supaya kita memperolehi kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk: "PENDIDIKAN ANAK-ANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA".

Kita baru memasuki tahun baru Miladi 2013 dan dalam tempoh  dua tiga minggu ini, telah menjadi rutin kepada setiap ibu bapa sibuk dengan urusan persekolahan anak-anak mereka. Bermula daripada pembelian pakaian sehinggalah urusan pendaftaran anak-anak di sekolah. Bagi yang pertama kali menghantarkan anak-anak dalam sistem pendidikan samada diperingkat tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah, ini merupakan pengalaman yang bermakna kepada mereka. Manakala, bagi yang telah biasa dengan urusan persekolahan anak-anak, menguruskan anak-anak ke sekolah adalah satu tanggung jawab yang penting dan tidak boleh diabaikan sama sekali. Setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk memastikan kebaikan anak-anak di masa hadapan.

Dalam Islam, pendidikan adalah sesuatu yang amat penting dan perlu diberikan perhatian oleh setiap ibu bapa kerana ianya adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan sebaiknya. Matlamat utama pelaksanaan sistem pendidikan dalam Islam ialah  untuk memberikan penekanan kepada aspek penghayatan melalui ilmu pengetahuan, kemahiran bagi membangunkan insan yang bertakwa kepada Allah SWT.
Dalam dunia pendidikan hari ini, kita dapati  sistem pendidikan rasmi khususnya sekolah, seolah-olah  telah mengambil alih sebahagian besar tugas keluarga mendidik generasi muda. Disebabkan  kesibukan masyarakat  mencari rezeki untuk keluarga,  terdapat ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya pendidikan anak-anak mereka kepada pihak sekolah.

Dalam Islam, tugas mendidik anak-anak berkaitan pendidikan agama khususnya ilmu fardu Ain seperti pendidikan al-Quran, ibadat solat, puasa, adab dan asas-asas akhlak Islam perlu dilaksanakan oleh  ibu bapa sendiri. Selain itu,  masyarakat juga perlu bersama-sama mendidik anak-anak ini kerana dalam sejarah perkembangan masyarakat Islam, peranan masjid dan surau adalah amat penting. Ini ditambah pula dengan sumbangan para guru yang secara suka rela mendidik ajaran Islam kepada masyarakat.

Namun, realiti yang berlaku kini,  peranan ibu bapa dan masyarakat semakin berkurangan. Tugas ini nampaknya hampir diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah-sekolah agama dan juga sekolah-sekolah kebangsaan, khususnya guru-guru pendidikan Islam.  Ini menjadikan tugas guru-guru pendidikan Islam  kini menjadi semakin lebih penting dalam usaha membangunkan generasi muda. Persoalannya dimanakah peranan ibu bapa dan mampukah guru-guru pendidikan Islam ini melaksanakan tugas yang amat besar ini? Apakah ibu bapa masa kini menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik anak-anak mereka kepada pihak sekolah? Bagaimana pula peranan masyarakat dalam mendidik generasi muda? 

Dalam memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak, peranan yang dimainkan oleh setiap ibu bapa dan guru adalah amat penting. Guru, ibu bapa dan masyarakat perlu saling membantu dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa mesti membantu guru-guru dalam mendidik anak-anak mereka. Masyarakat pula perlu memberikan segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh sekolah dan ibu bapa.  Apa yang menjadi matlamat utama dalam pendidikan ialah melahirkan manusia yang menghayati ajaran Islam yang sebenar yang hanya menyembah Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 102:
"Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadahlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dialah yang mentadbirkan segala-galanya".
Maka, dalam usaha melahirkan anak-anak yang mempunyai penguasaan ilmu pengetahuan agama dan penghayatan ajaran Islam, tugas memberikan pendidikan Islam wajib diberikan tumpuan.

Apa yang menjadi kebimbangan pada masa kini ialah penumpuan yang berlebihan dalam mencapai kecemerlangan peperiksaan dan mengabaikan kecemerlangan peribadi dan sahsiah anak-anak. Apa yang jelas, pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan tidak menjamin kecemerlangan dalam aspek penguasaan ilmu yang sebenar dan juga dalam aspek penghayatan ilmu yang mereka pelajari. Maka, ibu bapa dan guru-guru perlu memberikan yang perhatian yang seimbang dalam aspek kecemerlangan sahsiah dan juga akademik. Kita tidak mahu anak-anak yang cemerlang dalam akdemik dan kerjaya ini gagal dalam kehidupan sebagai seorang Muslim yang mukmin.

Alangkah bahagianya ibu bapa jika anak-anak yang dibesarkan menjadi usahawan berjaya, doktor, peguam, jurutera dan arkitek yang hebat, dan yang paling penting  menjadi manusia yang sentiasa ingat kepada ibubapa, cintakan Rasullallah s.a.w dan sayangkan  Islam dan  taat kepada Allah SWT. Pastinya kita tidak mahu anak-anak yang dididik menolak Islam sebagai cara hidup kerana Allah SWT telah  berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 19:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam...".
Selain itu, kita juga amat bimbang jika anak-anak kita menjadi manusia yang tidak mahu mengikuti ajaran Islam dan mencari fahaman-fahaman yang lain selain daripada Islam. Jika berlaku, mereka akan tergolong  dalam orang yang mendapat kerugian besar semasa di akhirat nanti. Allah SWT telah menyatakan  dalam surah Ali `Imran ayat 85:
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, pada hari akhirat kelak dia tergolong daripada orang-orang yang rugi".

Islam sangat menekankan penguasaan ilmu kerana ia adalah asas kepada kepatuhan kepada Allah SWT. Seseorang akan terjamin mendapat keselamatan dan kebahagiaan kerana dia berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpin ke jalan yang benar.  
Hadith daripada Abu Bakrah R.A. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Jadikanlah dirimu orang yang alim, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama atau pun orang yang mencintai tiga golongan tersebut. Dan janganlah engkau menjadi golongan kelima yang sebabnya engkau akan binasa".
                                                                                        (Riwayat al-Bazzar)

Imam Al-Mawardi dalam menghuraikan golongan kelima, iaitu golongan yang binasa, ialah orang yang menganggap bahawa ilmu syarak itu tiada faedah dan tidak perlu dipelajari. Sesungguhnya orang ini tenggelam dalam kesesatan yang  jauh daripada mendapat hidayat dan petunjuk Allah. Mereka ini tidak dapat membezakan antara yang benar dan salah yang akhir melakukan kekufuran kepada Allah SWT.

Bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan terdapat beberapa langkah segera yang boleh kita laksanakan bersama. Antaranya adalah;
  1. Setiap ibu bapa perlu memberikan pendidikan agama dan fardu ain kepada anak-anak mereka semenjak dari kecil lagi. Tanggungjawab memberikan pendidikan agama adalah tanggungjawab ibu bapa di rumah. Pendidikan agama anak-anak bermula dari rumah bukannya bermula di sekolah.

  1. Ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan agama dan kemahiran yang sesuai dalam mendidik anak-anak mereka. Adalah menjadi kewajipan setiap ibu bapa mempelajari ilmu fardu ain agar mereka dapat menjadi contoh kepada anak-anak mereka.

  1. Guru-guru pula perlu memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak murid mereka kerana kebanyakan anak-anak masa kini lebih banyak bersama-sama dengan guru-guru di sekolah. Peluang keemasan untuk mendidik anak-anak ini perlu digunakan sebaiknya oleh setiap guru.Tugas mendidik adalah tugas bersama semua guru dan bukannya tugas guru-guru pendidikan Islam sahaja.
  1. Ibu bapa dan sekolah perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas mendidik anak-anak. Kerjasama yang kukuh antara sekolah dan ibu bapa akan menjadikan pendidikan di sekolah lebih berkesan.

  1. Masyarakat pula melalui institusi masjid dan surau boleh berperanan dalam mendidik anak-anak kita. Masjid dan surau perlu dibangunkan menjadi pusat untuk berbagai program seperti kelas tambahan agama, tuisyen rakyat, program masa cuti seperti daurah remaja dan program motivasi.

Sebagai kesimpulan, tugas mendidik anak-anak adalah tanggung jawab bersama setiap ibu bapa, guru dan ahli masyarakat. Tugas utama umat Islam ialah untuk membangunkan generasi muda yang lebih baik daripada kita. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta kerjasama yang kukuh daripada semua pihak akan dapat melahirkan anak-anak yang beriman dan mengesakan Allah SWT.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah iman. Kepada Tuhan mereka jualah mereka bertawakal".                                                                (Al-Anfal : 2)
   

sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.