Friday

BAPA TONGGAK KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA


Bapa adalah pangkat kurniaan Allah SWT dan ia merupakan suatu amanah kepada setiap lelaki yang berumahtangga dan berkeluarga. Allah memberikan pahala dan ganjaran besar kepada bapa yang dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai bapa. Allah SWT menyanjung tinggi setiap orang bapa yang bertanggungjawab kepada ahli keluarganya. 

Bapa adalah sebagai pemimpin rumahtangga, bapa adalah perutusan Allah dalam keluarganya yang dipertanggungjawabkan untuk membentuk ahli keluarganya dengan tuntutan fardhu ain, membentuk sahsiah islamiah dan akhlak Islam yang mulia, memberi ilmu dan bimbingan kepada ahli keluarga mengenali Allah sebagai Tuhannya, Nabi Muhammad sebagai nabinya, Islam sebagai syariatnya, akhlak mulia sebagai budaya kehidupannya yang unggul, bersifat ihsan kepada jiran tetangganya, menjadi tonggak yang baik kepada masyarakatnya.

Setiap orang yang bakal menjadi bapa, wajiblah menyedari bahawa dirinya adalah khalifah Allah dalam "kerajaan" rumahtangganya, raja kepada keluarganya, kata-katanya dipatuhi dan dihormati oleh isteri dan anak-anaknya. Isteri wajib mentaati dan menghormati suaminya, melayani dengan lemah lembut serta menunaikan kehendak suaminya selama tidak bertentangan dengan syarak. Setiap keingkaran isteri akan menjadikan isteri nusyuz atau derhaka dan mendapat kemurkaan Allah. Demikianlah istimewanya kedudukan bapa yang diberi oleh Islam sebagai tonggak keluarga.


Bapa juga wajib menyedari bahawa Allah mewajibkan anak-anaknya menghormati, mematuhi serta mentaati ibubapanya. Nasihat bapa wajib didengar, kata-kata bapa tidak boleh dibantah. Anak tidak boleh mengasari bapanya dan menengking ibubapanya. Anak-anak wajib bersifat lemah lembut, penuh beradab apabila berurusan dengan bapanya. Setiap pelanggaran adab-adab anak kepada bapanya akan menjadikannya sebagai anak yang derhaka dan dimurkai oleh Allah SWT.

Begitulah kedudukan bapa dalam Islam, bapa diberi penghormatan tinggi oleh Allah, diberikan adab-adab dan batas-batas penghormatan untuk memuliakan pangkatnya sebagai bapa. Diberikan amaran dan balasan kepada keluarganya untuk menjaga kewibawaannya sebagai bapa. Bersyukurlah wahai tuan-tuan sebagai bapa kerana Allah telah mengangkat bapa-bapa ke taraf yang berkuasa. Tetapi ingat, kuasa sebagai bapa itu adalah amanah Allah, bapa wajiblah memunaikan amanah yang diberikan Allah itu sebagai tanggungjawab yang sangat besar dan penting yang wajib dilaksanakan.


Tanggungjawab yang pertama menjadikan ahli keluarga dekat dengan Allah dengan membiasakan mereka sama-sama berzikir, berwirid dan berdoa supaya mereka mengenal Allah sebagai Tuhan yang wajib disembah. Sebagai bapa yang bertanggungjawab, wajib memastikan tuntutan fardhu ain diajar dan diamalkan oleh anak-anak. Mereka wajib dibimbing mematuhi syariat Allah, mendirikan solat 5 waktu, menjadikan mereka cintakan masjid, sering membawa mereka solat di masjid, bukan hanya sekadar menggalak dan menyuruhnya sahaja sedangkan bapa masih tetap lekat di hadapan televisyen dan computer walaupun azan dilaungkan.

Bapa dipertanggungjawabkan membentuk kesabaran dan kepatuhan menunaikan solat setiap waktu, membaca al-Quran, berpuasa sebagai latihan mereka untuk menjadi orang yang sabar dan merasa sama penderitaan manusia lain yang kekurangan makanan. Contoh-contoh aktiviti fardhu ain yang ringan ini mestilah diterap dalam budaya kehidupan keluarga.
Bapa tidak sewajarnya hanya inginkan anak-anak dan keluarganya menjadi baik sedangkan bapa sendiri lupa tanggungjawabnya sebagai tonggak keluarga dan kedudukannya yang dimuliakan Allah. Ada di kalangan yang telah bergelar bapa sanggup berjaga malam hingga jam 3 atau 4 pagi, bertahajjud dengan facebook, twitter, internet dan lain-lain lagi. Terdapat juga sebahagian bapa yang leka dengan menonton video yang tidak bermoral dan berkaraoke di kedai-kedai kopi hingga ke larut malam.

Akhir-akhir ini terdapat  banyak kes perselisihan dan ketegangan keluarga berlaku. Ianya berpunca daripada sikap bapa yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan keluarganya. Bapa tidak dapat mentu isteri mengurus rumah dan anak-anak, jauh sekali untuk memberi kasih sayang sehingga timbul pergaduhan dan penceraian yang merugikan. Renunglah dan muhasabahlah wahai bapa-bapa tentang apakah peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.


Tanggungjawab yang kedua ialah mengurus nafkah keluarga. Sebagai bapa, setiap suap nasi yang dimakan oleh anak isteri, setiap teguk air yang ditelan oleh mereka, setiap lembar benang pakaian ahli keluarga, mestilah dari sumber yang halal dan diredhai Allah, kerana setiap sumber yang syubhat dan haram akan menjadi bahan pembakar api neraka Allah.
Bapa wajib bekerja mencari rezeki untuk ahli keluarga supaya tidak ada yang kelaparan. Isteri tidak diwajibkan bekerja mencari nafkah keluarga sedangkan suami goyang kaki membiarkan isteri yang bertungkus-lumus mencari rezeki. Bapa dilarang mencari sumber rezeki yang haram seperti rasuah, menyelewengkan tugas, berjudi dan yang dilarang oleh syarak seperti kerja di kilang arak, kedai-kedai judi dan sebagainya.


Tanggungjawab ketiga yang penting ialah memberi ilmu dan bimbingan yang dapat menyelamatkan ahli keluarga dari seksa api neraka dan kesesatan di dunia ini.
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
"Setiap anak dilahirkan dalam fitrah (islam). Ibubapanyalah yang menjadikannya yahudi,nasrani atau majusi".
                                                                                                   (Riwayat Al-Bukhari)

Bapa wajib mengajar anak-anaknya berakhlak yang mulia seperti tidak mencabuli amanah yang diberikan. Contohnya sebagaimana yang terjadi sepertimana haruan makan anak. Bapa sepatutnya menjadi tonggak kekuatan dan kedamaian keluarga, tetapi terdapat segelintir bapa yang menjadi punca rumahtangga menjadi porak peranda yang akhirnya berlakulah perselisihan dan perceraian yang dibenci oleh Allah.

Bapa wajiblah memahami matlamat perkahwinan dan tanggungjawab yang dipikul, Allah telah memberikan amanah yang besar dan penting untuk dilaksanakan, maka Allah pasti akan bertanya apakah amanah yang telah diberikan telah dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".
                                                                                  (At-Tahrim : 6)

sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.