Saturday

KEHIDUPAN DI USIA SENJA

Pada setiap tahun tanggal 1 Oktober telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia. Hari tersebut disambut bagi mengenangkan jasa dan pengorbanan warga emas yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa  dan Negara. Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua  jika dikurniakan oleh Allah SWT.


Sama ada suka ataupun tidak suka, mahu ataupun tidak mahu, kita harus menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan beralih menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan Allah. Rasulullah S.A.W. berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: 


"Bukanlah daripada golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami."
             (Riwayat Al-Tabrani) 

Hadis ini mensyaratkan bahawa Islam amat menuntut umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada orang tua sama ada ibu bapa, kaum kerabat dan sesiapa saja yang mencapai usia tua. 


Menghormati serta menghargai warga tua bererti berbuat baik kepada mereka dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas di samping tidak sekali-kali  cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak. Sejak awal lagi Islam  telah menuntut anak-anak dan masyarakat seluruhnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada warga tua apatah lagi kepada  kedua ibu bapa kita.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Israa' ayat 23 dan 24: 
"Dan Tuhan Mu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-dua sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan "Ah" dan janganlah engkau menengking atau menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang baik dan mulia (bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya denganpenuh belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil". 

Melalui ayat ini, kita dapat lihat bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa merupakan kewajipan terpenting sesudah menyembah dan mengabdi diri kepada Allah SWT. Ini bermakna, anak-anak dan generasi muda tidak boleh sama sekali mengabaikan kewajipan serta tanggungjawab mereka kepada kedua orang tua masing-masing.  Dan tuntutan berbuat baik kepada mereka meliputi pelbagai aspek.


Dewasa kini jelas kita lihat berlakunya sikap mengabaikan tanggungjawab terhadap orang-orang tua termasuk ibu bapa semakin banyak berlaku dalam masyarakat kita. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan. Lebih menyedihkan lagi, terdapat anak yang sanggup mendera dan mencederakan ibu bapa. Malah, pernah terjadi anak membunuh orang tuanya disebabkan tamak kepada wang atau harta.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2010 seramai 1436 orang-orang tua telah direkodkan kemasukan ke rumah-rumah kebajikan. Jumlah ini bertambah kepada 1804 orang pada tahun 2011. Dari Januari hingga Julai 2012, seramai 2020 orang penghuni telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dari jumlah tersebut 982 orang adalah orang melayu Islam.19% dari jumlah kemasukan kerumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian dan dipinggir oleh keluarga sendiri. 26% berkaitan masalah penjagaan, manakala 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Ini suatu jumlah yang membimbangkan masyarakat hari ini. Amat mengecewakan lagi, ada dikalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, namun mereka masih sanggup menghantar ibubapa mereka ke rumah-rumah kebajikan?

Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak-anak berpanjangan di sepanjang hayat, pengorbanan yang dicurah siang-malam, tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak kerana menginsafi anak itu adalah lahir daripada kandungannya yang dijaga selama sembilan bulan. Sebuah Hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

"Ada tiga jenis manusia yang dilaknat oleh Allah SWT iaitu: orang yang membenci kedua ibu bapanya, orang yang berusaha menceraikan pasangan suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut diceraikan, maka ia pula sebagai ganti suaminya dan orang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara mereka dengan hasutan-hasutannya".                                     (Riwayat Ad-Dailami)

Ingatlah! Apa yang kita miliki pada hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan  dan keluarga kita adalah hasil dari pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.


Marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih dan sayang terhadap ibu-bapa  setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah bahkan seluruh jiwa dan raga kita serahkan kepada mereka. Gembirakanlah mereka dan carilah keredhaan mereka serta perbanyakkanlah doa keampunan kepada mereka. Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu-bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja.

Kita perlu sedar bahawa ibu-bapa yang tidak redha dengan sikap keji anak-anak akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Selama mana kita tidak diredhai oleh ibu-bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan penderhakaan terhadap Allah SWT. Maka rebutlah  peluang dan kesempatan yang ada ini untuk menyayangi mereka ketika mana mereka masih hidup lagi di dunia ini.  

"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya denganpenuh belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil".
                                                                                       (Al-Israa': 24)

sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.