Zakat fitrah amat
erat kaitannya dengan bulan Ramadhan. Menjelang sahaja bulan puasa ini, maka
semua umat Islam merasa terpanggil untuk segera menunaikan kewajipan zakat
fitrah. Namun begitu, fahamkah kita tentang ibadah yang dinamakan sebagai zakat
fitrah ini?
Zakat fitrah
adalah salah satu daripada dua jenis zakat, iaitu zakat harta dan zakat fitrah
atau disebut juga sebagai zakat badan. Ia difardukan oleh Allah SWT pada tahun
kedua hijrah.
Dari segi
kewajipannya, zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka
mahu pun hamba sahaya, bayi, anak-anak kecil mahu pun dewasa, orang yang
berakal mahu pun orang gila.
Ibnu Umar r.a memberitahu
bahawa:
"Rasulullah s.a.w
mewajibkan zakat fitrah ke atas anak kecil, orang dewasa, orang merdeka dan
hamba sahaya daripada orang-orang yang di bawah tanggungan seseorang". (Riwayat Daruquthni)
Zakat
fitrah mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Dalam hal ini, Islam
menetapkan bahawa seseorang itu memiliki makanan yang cukup baginya untuk malam
hari raya sehinggalah ke siangnya wajib ia mengeluarkan zakat fitrah.
Kadar
zakat fitrah pula ditetapkan sebanyak segantang Baghdad berdasarkan makanan
asasi sesebuah negara. Dalam konteks
Malaysia, ia menyamai 2.7 kg dan ketetapan nilai kadar harga beras sebanyak itu pula adalah
berubah-ubah dari setahun ke setahun bergantung kepada harga beras semasa.
Sehubungan
dengan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan harga zakat
fitrah di Negeri Selangor yang menyamai harga beras semasa ialah RM7.00 iaitu
kadar harga beras gred sederhana. Adalah dengan penetapan ini diharap umat
Islam di Negeri Selangor mampu menunaikan zakat fitrah pada masa yang ditetapkan.
Bilakah waktunya bagi kita menunaikan zakat fitrah
ini? Ada sesetengah orang suka menunggu saat-saat terakhir, yakni sebelum
mendirikan solat sunat Aidilfitri untuk mengeluarkannya dengan alasan itulah
waktu yang paling utama. Sesungguhnya, dalam kitab Fiqh al-Manhaji, Jilid
Pertama telah membahaskan secara terperinci mengenai waktu mengeluarkan zakat
fitrah ini seperti berikut;
"Sesiapa yang mengeluarkan zakat fitrah bermula dari
1 Ramadan, hukumnya adalah sah dan harus. Jika ia mengeluarkannya pada masa
selepas tenggelam matahari pada akhir Ramadhan sehinggalah sebelum solat raya,
maka ketika itu adalah waktu yang afdal. Adapun orang yang mengeluarkannya
selepas solat Aidulfitri, maka hukumnya adalah makruh, tetapi sesiapa yang
melambatkannya sehingga terbenam matahari 1 Syawal, maka dia adalah berdosa;
namun ia tetap wajib mengeluarkannya dan ketika itu ia dianggap sebagai qada'.
Sungguh pun waktu yang terbaik ialah sebelum solat
aidilfitri, namun janganlah kita menunggu sehingga ke saat itu. Tunaikanlah
sejak awal Ramadhan lagi, kerana ia akan lebih memudahkan urusan dan dapat
mengelakkan risiko terlambat atau terlupa menunaikannya. Pastikan juga kita menyerahkan
zakat fitrah hanya kepada amil yang bertauliah yang dikeluarkan oleh Majlis
Agama Islam Selangor.
Hikmah zakat fitrah amat banyak. Antaranya adalah;
Pertama :
Dapat
menjamin kegembiraan semua umat Islam.
Inilah yang telah disebut dalam hadis daripada Abu
Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
"Bagi orang yang berpuasa ia akan mendapat dua kegembiraan; pertama ketika ia berbuka atau ketika berhariraya dan keduanya
ketika ia berjumpa Allah".
(Riwayat Imam Muslim)
Kedua
:
Zakat fitrah juga mampu
mengikis sifat tamak dan kedekut dalam diri manusia. Akan tersingkaplah tirai kesombongan
dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi rezeki kurniaan Allah
SWT ini. Seandainya mahu berkongsi RM7.00 pun sudah merasa susah, maka
bagaimana pula mereka mampu memberi lebih banyak dengan membayar zakat harta
dan bersedekah?
Ketiga
:
Zakat fitrah juga memupuk
perasaan kasih-sayang khususnya dari kalangan fakir miskin kepada orang-orang
kaya, sehingga dengan itu hilanglah rasa hasad dan dengki yang mampu merosakkan
perhubungan yang harmoni dalam kalangan umat Islam.
Keempat
:
Zakat fitrah ini adalah
suatu cara pembersihan diri kepada umat Islam.
Ibnu Abbas r.a
memberitahu bahawa:
"Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah, untuk
membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tiada manfaatnya
dan kata-kata
yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin".
(Riwayat Abu Daud)
Kelima
:
Zakat fitrah mampu
menzahirkan kesatuan akidah dan kesatuan amal yang dikehendaki oleh Allah SWT,
antaranya saling tolong-menolong dan meringankan beban.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:
"Hendaklah kamu bantu-membantu untuk membuat kebajikan
dan bertaqwa, janganlah pula kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat)
dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah); dan bertaqwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab-Nya".
(al-Maidah: 2)
Sesungguhnya,
kedatangan Ramadan al-Mubarak inilah masanya bagi kita untuk menunjukkan betapa
tingginya hemah kita sebagai seorang muslim, yakni seorang mukmin yang
menyantuni sesama saudaranya dengan penuh keikhlasan dan kepatuhan kepada
agama. Marilah kita menunaikan zakat fitrah ini dengan penuh keikhlasan dan
kesedaran.
Daripada
Salman al-Farisi r.a bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa
yang mendampingkan dirinya kepada Allah dalam bulan Ramadan dengan
sesuatu
daripada perkara-perkara kebajikan (sunat), maka samalah seperti dia
mengerjakan satu perintah Allah yang diwajibkan (fardu) pada bulan itu,
dan
sesiapa yang menunaikan satu perkara yang diwajibkan Allah pada bulan
itu
(seperti zakat), maka samalah seperti dia menunaikan 70 perkara yang
diwajibkan
Allah pada bulan-bulan yang
lain".
(Riwayat
Ibn Khuzaimah)
Inilah
suatu ganjaran pahala yang amat besar, yang ditawarkan Allah SWT pada bulan
Ramadhan ini. Maka, tidak salah sebenarnya bagi semua umat Islam untuk
menjadikan Ramadhan sebagai bulan berzakat, yakni bukan sekadar zakat fitrah,
tetapi juga menunaikan zakat harta yang lain seperti zakat emas, pendapatan,
wang simpanan, zakat saham, zakat perniagaan, zakat ternakan dan zakat
pertanian.
Yakinlah,
zakat dan sedekah yang dihulurkan kepada fakir dan miskin ini ibarat baja yang
akan menyuburkan harta. Fungsinya sama seperti baja dan air yang menyuburkan
sepohon pokok. Akhirnya pokok itu membesar dengan rendang, batangnya teguh
mengukuh awan, dahannya tegap mengeluarkan dedaunan dan akhirnya akan memutik
buah-buahan yang kelak meranum bak manisan. Bukankah ini habuan bagi orang yang
menanam dan sentiasa menjaga pokok yang ditanamnya. Maka, orang yang berzakat
dan bersedekah, pahalanya dijanjikan Allah SWT bahkan diberikan keberkatan
hidup sejak di atas dunia ini lagi.
"Dan perumpamaan (nafkah daripada) orang
yang membelanjakan hartanya untuk mencari keredhaan Allah dan untuk meneguhkan
(keimanan dan keikhlasan) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti
sebuah kebun di dataran yang tinggi yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan
hasilnya dua kali ganda. Namun, jika ia tidak ditimpa hujan lebat pun, maka
hujan renyai-renyai sudah memadai. Allah Maha Melihat akan apa yang kamu
kerjakan".
(Al-Baqarah:
265)
sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.