Fitnah bermaksud
tuduhan sama ada berita, kisah dan sebagainya yang diada-adakan
bertujuan memburukkan atau memusnahkan seseorang, sesebuah institusi
atau kumpulan dan seumpamanya. Dalam zaman serba moden dan era teknologi
ini, penyebaran fitnah mudah berlaku sama ada melalui siaran televisyen
atau radio, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mail, laman sesawang atau
blog dan sebagainya. Penyebaran berita fitnah tersebut berlaku dengan
cepat, meluas dan mudah diperolehi tanpa sebarang kewaspadaan untuk
menyelidik maklumat yang diterima seterusnya tanpa teragak-agak
disampaikan kepada yang lain. Sikap ini amat ditegah oleh Islam. Ini
kerana Islam menganjurkan umatnya agar setiap berita yang sampai
terutamanya melalui orang yang digolongkan sebagai fasik iaitu mereka
yang tidak mempedulikan perintah Allah SWT tanpa diselidiki terlebih
dahulu sebelum disebarkan kepada yang lain.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:
"Wahai orang yang
beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa
yang kamu telah lakukan".
Berdasarkan ayat
tersebut, wajib bagi setiap Muslim menghalusi segala berita yang
diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.
Sebarang berita yang diterima terlebih dahulu perlu dipastikan
kebenarannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan
bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Budaya
menabur fitnah adalah sesuatu yang keji dan amat dibenci oleh Islam
sehingga ianya dikategorikan sebagai dosa besar dalam Islam.
Menabur fitnah dengan
mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak,
termasuk dalam sikap buruk apabila seseorang menyebut atau menceritakan
keburukan seseorang biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi
diketahui oleh orang yang mendengarnya. Penyebar berita biasanya
menyebut "dengar khabar" atau "khabar angin". Bagaimanapun, apabila
berita tersebut disampaikan daripada seorang ke seorang,
diulang-ulangkan, maklumat yang belum sahih itu seolah-olah sudah
menjadi fakta dan berita benar.
Antara ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah ialah:
Pertama :
Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia.
Hadis daripada Abdul Rahman Al-Ghanmi R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sekeji-keji
manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang
melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang
mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah".
(Riwayat Imam Ahmad)
Kedua :
Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara
seagama. Sesungguhnya manusia yang waras tidak sanggup memakan daging
manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12:
"Wahai orang yang
beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya
sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa; janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; janganlah
setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada
kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian
keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu,
patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang".
Ketiga :
Penabur fitnah dan pengumpat disiksa di dalam kubur.
Hadis daripada Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya
mereka berdua diazab dan tidaklah mereka berdua diazab disebabkan
dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang
mereka tidak dapat mengetuskan air kencingnya dan seorang lagi memecah
belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah". (Riwayat Imam Al-Bukhari)
Keempat :
Nabi s.a.w. menyebutkan bahawa penabur fitnah tidak masuk Syurga.
Hadis daripada Huzaifah R.A bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak masuk Syurga orang yang suka menabur fitnah". (Riwayat Imam Al-Bukhari)
Selain ancaman dan
dosa fitnah dan penabur fitnah sebagaimana yang disebutkan oleh syarak,
fitnah juga turut membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat.
Antaranya ialah:
Pertama :
Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia.
Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memaafkan
perbuatan tersebut. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita
fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Kerana itu mereka mudah
menyebarkan berita tanpa usul periksa.
Kedua :
Fitnah memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat. Kerana
fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan
sebagainya akan hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan.
Bahkan perbuatan menyebar fitnah diumpamakan sebagai api yang membakar
ranting kering kerana ia cepat merebak sehingga akhirnya menjadi abu.
Ketiga
:
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau
kumpulan. Sikap seperti ini bertujuan menonjolkan diri dan menganggap
dirinya lebih baik atau lebih layak berbanding orang yang diburukkan.
Banyak pihak yang terbabit dengan penyebaran fitnah ini terkadang tidak
mempunyai sebarang kepentingan pun. Tetapi, disebabkan amalan tersebut
sudah menjadi kebiasaan, walaupun ianya hina namun dapat memberi satu
kepuasan kepada pelakunya.
Keempat :
Budaya menabur fitnah boleh menganggu gugat kestabilan dan keamanan
Negara. Oleh itu, usah biarkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling
sebagai mereka yang mencemarkan negara ini dengan menimbulkan huru-hara
kesan daripada fitnah-fitnah yang dibuat dan disebarkan.
Kelima
:
Fitnah boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu
dan perkumpulan, begitu juga ia boleh menyebabkan kerugian dari segi
kewangan. Ini kerana saman malu boleh dibuat terhadap penyebar fitnah
dan bakal mengakibatkan kerugian yang besar dari sudut kewangan, emosi
dan sebagainya.
Kesimpulan khutbah yang dapat disampaikan pada hari ini ialah:
Pertama :
Membuat dan menyebarkan fitnah merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang dikutuk oleh syarak.
Kedua :
Beratnya ancaman dan siksaaan terhadap dosa fitnah dan penabur fitnah
sebagaimana yang tercatat di dalam ayat al-Quran dan hadis-hadis yang
banyak.
Ketiga
:
Wajib bagi setiap individu Muslim untuk menghalusi setiap berita
yang diterima terutamanya khabar atau berita yang dilabel sebagai
"khabar angin" atau "dengar khabar" supaya tidak terbabit dalam kancah
berita berunsur fitnah.
Keempat :
Budaya menabur fitnah adalah sikap yang amat keji kerana ianya bakal
memecahbelahkan kesatuan rumahtangga, merosakkan masyarakat dan
menganggu gugat kestabilan serta keamanan Negara.
Kelima
:
Segala persengketaan atau kekeliruan tidak akan dapat
diselesaikan melalui budaya menabur fitnah. Sebaliknya, segala
permasalahan akan selesai apabila wujudnya sikap merendah diri, bertolak
ansur dan saling memaafkan.
"Sesiapa yang
mengganggu serta menyakiti lelaki yang beriman dan wanita yang beriman
(dengan perkataan atau perbuatan) yang tidak menepati kesalahan yang
dilakukan oleh mereka, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan
menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata".
(Al-Ahzab: 58)
sumber:Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.