Sunday

AKHLAK CERMIN KEPERIBADIAN MUSLIM

Islam disyariatkan oleh Allah berdasarkan kepada aqidah tauhid yang benar, kepada Syariat Islam yang adil, dan berdasarkan kepada akhlak yang mulia atau sering disebut sebagai ehsan.  Jika akhlak yang mulia itu ditinggalkan, maka tidak sempurnalah Islam kita, cacatlah agama yang kita anuti dan tercalarlah sahsiah kita sebagai seorang muslim yang sempurna, kerana akhlak itu mencerminkan peribadi dalaman seseorang muslim sejati, akhlak adalah cerminan dari akidah iman dan amalan syariat yang dihayati.

Akhlak yang menjadi cermin kepada peribadi seseorang muslim, adalah selaras dengan makna ehsan yang telah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya;
"Bahawa ehsan itu ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Allah melihat kamu". 
                                (Riwayat Muslim)

Sememangnya nabi s.a.q diutus oleh Allah dengan tujuan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia dalam kehidupan, sehingga umatnya dapat mencerminkan keperibadian muslim yang tinggi, membersihkan amalan, menyucikan hati nurani dengan sebersih-bersihnya, sehingga ia dapat menghampirkan diri kepada Allah SWT.

Seorang muslim mestilah memilik akhlak yang sempurna, berasaskan  akidah dan keimanan yang bersandar dan bergantung kepada Allah SWT, bahkan segala pergerakan hambanya lahir daripada kehendak dan kuasa Allah. Maka kerana itu, seluruh aktiviti pergerakan hambanya mencerminkan ketundukannya kepada Allah SWT yang Maha berkuasa sehigga Allah mengasihi dan meredhainya.

Apakah tanggungjawab kita sebagai seorang Islam?  Kita ada Allah, Tuhan yang kita sembah. Kita ada syariat, undang-undang dan peraturan agama yang kita  junjung.  Mengapa soal pembentukan akhlak kita tinggalkan?  Sesungguhnya kita tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab sebagai ibu bapa, kerana kitalah yang mencorakkan akhlak dan akidah anak-anak kita, samada  mereka menjadi yahudi, nasrani atau majusi.
Jika kita cuai, maka lahirlah generasi yang rosak dan tidak berakhlak.  Kadang-kadang kita lebih mementingkan kecemerlangan akademik anak-anak tetapi kita tidak pedulikan agama dan akhlak mereka, maka akan lahirlah anak  yang bijak tetapi rosak moralnya dan  runtuh akhlaknya, akibatnya bukan hanya ibu bapa yang menghadapi  masalah, tetapi masyarakat turut terheret dengan keruntuhan akhlak anak-anak kita.

Apakah kita sudah cukup bersedia untuk menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir dalam kubur nanti, yang tidak ada seorangpun dari kita yang terlepas dari soalan;  Siapakah Tuhan kamu?  Apakah Syariat kamu?  Siapakah nabi kamu? Apakah ikutan kamu? Siapakah saudara kamu?

Bolehkah kita menjawab persoalan-persoalan tersebut sekiranya mulut, mata, telinga,  tangan, kaki dan hati kita tidak benar-benar menjadikan Allah sebagai Tuhan,  dan sekiranya budaya dan cara hidup kita tidak mengikut syariat dan agama yang Allah tentukan, dan tidak menjadikan kehidupan nabi s.a.w sebagai contoh?.

Sesungguhnya hidup kita bukan ikut suka hati kita, bukan boleh ikut nafsu kita.   Kita ada Tuhan untuk kita patuhi, kita ada syariat  untuk kita ikut,  dan kita ada nabi untuk membimbing dan memimpin kita.  Jika  kita percaya kepada Tuhan selain Allah, dan  beramal  dengan peraturan selain dari  Syariat Allah sebagai panduan hidup, maka hasilnya kita tidak berakhlak dengan akhlak Islam.  Apakah jawapan yang boleh melepaskan kita daripada seksaan Allah itu nanti, melainkan hanya penyesalan yang tidak berguna lagi.
Firman Allah dalam surah Yasin ayat  67;
"Jika Kami kehendaki, pasti Kami mengubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya. Maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang".

Satu contoh akhlak buruk yang bukan dari budaya Islam ialah pemakaian rantai leher oleh lelaki Muslim kerana rantai adalah budaya  pemakaian lelaki Yahudi, Nasrani dan Majusi. Pemakaian rantai mencerminkan kepatuhan mereka beramal dengan agama mereka.  Apabila mereka menganut Islam dengan mengucap syahadat, maka pemakaian itu dilarang bagi orang lelaki muslim, sebagai  tanda kemuliaan akhlak yang mencerminkan kepatuhan orang Islam kepada ajaran Islam dan hokum-hakamnya.
Malangnya pada hari ini, ada di antara kaum lelaki Islam yang suka menyerupai kaum perempuan seperti dalam pemakaian perhiasan dengan memakai rantai leher, gelang tangan dan anting-anting. Malah ada yang diperbuat daripada emas. Islam melarang lelaki memakai rantai leher dan gelang tangan kerana ia menyerupai kaum wanita. Hanya wanita sahaja yang diharuskan memakai perhiasan seperti itu. Bagi lelaki disunatkan memakai cincin perak kerana mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.
Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
"Rasulullah s.a.w telah melaknat kaum lelaki yang menyerupai wanita dan kaum wanita yang menyerupai lelaki"
                                                       (Riwayat Al-Bukhari)

Ada juga yang memakai gelang dan rantai kerana percaya ada tuah dan kelebihan, tanpa sedar, bahawa amalan itu adalah amalan khurafat, sama seperti percaya kalung azimat, gelang dan cincin hikmah itu membawa tuah atau boleh terhindar daripada musibah,  amalan tersebut adalah syirik yang akan  menghapuskan pahala amalan ibadah.

Muhammad Qutub dalam bukunya Jahiliah Kurun Kedua Puluh menegaskan;
"Bahawa masyarakat jahiliah adalah mereka yang tidak memiliki akhlak yang mulia, tidak ada budi bahasa, tidak bersopan santun dan tidak bersifat dengan sifat yang baik, mereka itu  menyembah dunia dan menyembah segala bentuk kebendaan, mereka tidak berpegang dengan akidah tauhid yang sebenar kepada Allah SWT dan bersifat tidak suka  dan tidak patuh kepada apa sahaja amalan dari Syariat Allah SWT".

Mereka yang berakhlak dan berjiwa ehsan itu benar-benar merasai betapa besar dan hebatnya kekuasaan Allah, perasaannya menusuk sampai ke hati nurani, jiwa ehsannya itu merasakan kelazatan nikmatnya berdamping dengan Allah,  lebih lazat dan nikmat dari harta kekayaan yang dikumpulkannya, lebih lazat dari rumahnya yang tersergam indah, lebih nikmat dari keretanya yang besar menjalar, lebih lazat dari pangkat kebesaran yang disandangnya. 
Firman Allah SWT surah an-Nur ayat 37;
"Lelaki yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah dengan mendirikan solat dan membayar zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar".


Untuk membentuk akhlak yang mulia sebagai cermin keperibadian seseorang muslim, Allah mewajibkan kita mengingat-Nya pada setiap waktu sehingga terasa khusyu'.   Sebaliknya, kehidupan dunia yang dilakukan semata-mata kerana dunia sahaja, tanpa memperdulikan hubungannya dengan Allah dan hukum-hakamnya, menunjuk-nunjuk baik kepada orang dengan harapan supaya diberikan penghormatan dan pujian, maka amalan seperti itu tidak ada ganjaran di sisi Allah, malahan mendapat laknat daripada Allah SWT bukan sahaja  di dunia malah di akhirat kelak.

Marilah kita kembali menyahut  seruan Rasulullah s.a.w supaya berakhlak dengan akhlak yang mulia, tunduk dan patuh kepada Syariat Allah, menjadikan Syariat dan undang-undang Allah pada amalan, menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin yang benar-benar diikuti sepenuhnya, menjadikan peribadi kita masing-masing cerminan akhlak yang tinggi dan mulia kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat kita, sehingga terpancarlah sifat rabbaniah (ketuhanan) melalui ketundukan dan kepatuhan seorang bapa sebagai hamba yang ingin menghampirkan dirinya kepada Allah, sehingga  kita dikasihi oleh anak-anak dan keluarga serta jiran tetangga. Allah pasti menjadikan kita sebagai hamba-Nya yang  dikasihi  dan diredhai.
         
Marilah kita sebagai bapa contoh sama-sama bertanggungjawab mengikat anak-anak kita dengan ibadah solat tanpa bersikap tolak ansur. Melazimi mereka dengan Al-Quran, hadir berjemaah di masjid atau di surau bersama-sama. Seterusnya libatkanlah mereka dengan zikir supaya sering mengingati keagungan Allah, membimbing mereka dengan solat sunat dan puasa sunat supaya merasa hikmah dan kelebihannya, menanam keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa melihat tingkah laku hamba-Nya.
"Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta menjaga dirinya tidak terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang yang beroleh kemenangan".      (An-Nur : 52)  
 
sumber: Khutbah Jumaat Masjid Kg Kuantan Klang  

Shamensi Holdings Sdn Bhd-Strategi Jadi Modal Niaga

“Kata orang, bisnes mesti keluarkan modal, idea dan jaringan. Bukan tak boleh bisnes, tetapi tidak cukup kuat kalau tidak disertai strategi.

“Dengan adanya strategi, berniaga tidak perlukan semua itu. Itulah modal saya selama ini,” kata Ketua Pengawai Eksekutif Shamensi Holdings Sdn Bhd, Hishamudin Mohamad, 39.

Memulakan perniagaan dengan modal RM1,000 yang diperoleh daripada wang biasiswa pengajian di universiti, Hishamudin kini meraih keuntungan berlipat ganda.
Selepas 18 tahun dalam dunia perniagaan dan umur hampir mencecah 40 tahun, pemilik syarikat penyedia kelengkapan Muslim dan pasar raya 24 jam ini berhasrat melihat kebolehan berniaga dimilikinya memberi manfaat kepada masyarakat dan agama.

Meneliti senarai anak syarikat diterajui Hishamudin, terasa bagaikan perniagaan adalah sesuatu yang mudah baginya. Tambahan pula, slogan ‘business is simple’ turut tertulis pada kad perniagaan dan seorang kakitangannya turut mengiyakan telahan itu.

Hishamudin mengakui cabaran sememangnya ada, khususnya kekangan modal dan pengetahuan dalam teknologi. Apapun, banyak kekurangan dan kelemahan yang ada dapat diatasi menerusi strategi bijak.

Untuk ilmu perniagaan, beliau menggunakan strategi terbaik dari Timur dan Barat selain ditambah nilai Islam. Baginya, keputusan perlu cepat dan tepat. Beliau turut merancang menubuhkan satu syarikat setiap bulan meliputi pelbagai bidang.

“Setiap manusia dikurniakan Allah dengan kelebihan dan saya diberikan kebolehan berniaga. Saya ingin gunakan kelebihan yang Allah kurniakan untuk membantu menegakkan agama Allah.

“Saya memegang kata-kata guru saya, kalau kita kejar dunia, dunia akan lari. Jika kita kejar akhirat, dunia akan kejar kita,” katanya.

Menurutnya, ada empat kategori kerja iaitu bekerja makan gaji, bekerja sendiri, orang bekerja untuk orang itu dan keempat, duit bekerja untuknya. Bagaimanapun, beliau tidak mahu sampai ke tahap empat, sebaliknya mahu bekerja untuk agama.

Hishamudin tidak pernah makan gaji walau sehari kerana dari awal lagi beliau berniaga. Darah orang berniaga begitu kuat mengalir dalam dirinya.

Arwah ibu bapanya, Madiah Akasah dan Mohamad Ismail menjalankan perniagaan runcit menerusi pembukaan tujuh rangkaian Muhammad Store di Klang. Apabila cuti semester, beliau menguruskan perniagaan keluarga. Malah, sejak tahun pertama pengajian di Universiti Malaya lagi, beliau terbabit dengan perniagaan. Setiap kali pesta konvokesyen, beliau berpakat dengan rakan dan menyewa empat hingga lima gerai. Satu gerai menjual jubah yang dijahit kakaknya, satu lagi menjual barangan keluaran Bumiputera, jagung bakar serta tom yam.

“Pada waktu sama, saya membekalkan bahan mentah kepada 20 gerai tom yam di pesta konvokesyen itu. Apa saja keperluan mereka seperti ikan, ayam, rempah dan sayur, saya sediakan. Untuk pesta selama empat hari, keuntungan diperoleh mencecah RM10,000 melalui perancangan selama sebulan,” katanya.

Ketika di tahun dua pengajian, kakaknya, Jamaliah yang mempunyai kedai jahitan bagi tempahan jubah terpaksa meninggalkan perniagaannya kerana menghadapi masalah.

Disebabkan sayangkan perniagaan itu, Hishamudin mengambil alih tetapi menukar strategi dengan menjual jubah siap. Apabila perniagaan itu bertambah maju iaitu melalui pembukaan bengkel di Klang dengan lima tukang jahit, beliau memanggil semula kakaknya bagi menguruskan bengkel jahitan berkenaan.

“Pesan orang tua yang saya ingat sehingga kini ialah, budi bahasa tidak pakai modal. Jangan sombong dan kalau tidak tahu senyum, jangan berniaga,” katanya yang mengambil jurusan Asasi Sains dan Sains Komputer di UM.

Ramai mengatakan, orang berniaga perlu mengambil risiko, namun bagi Hishamudin kenyataan itu kurang tepat.

“Bagi saya, perkataan tepat ialah bijak mengendalikan risiko. Misalnya, ketika gawat, strategi perlu diubah supaya perniagaan tidak jatuh,” katanya.

Hishamudin berkata, situasi sama pernah dilalui bapanya yang ingin mengembangkan perniagaan dari Klang ke Cheras. Pada awalnya, bapanya membuka perniagaan kelengkapan beribadat umat Islam, namun disebabkan waktu itu penduduk belum ramai dan permintaan kurang, bapanya menukar kepada perniagaan runcit iaitu Pasaraya Pak Aji.

“Ini contoh menyelesaikan masalah pelanggan dan mendapat kepercayaan pelanggan. Bayangkan jika kita cuba jual makanan di rumah orang kenduri,” katanya.

Pasaraya Pak Aji pernah mengalami kemerosotan apabila bapanya meninggal dunia pada 1998. Pada 2000, beliau menukar strategi menjadikan ia pasar raya beroperasi 24 jam, harga kompetitif dan pasar segar. Pasar raya itu turut memasarkan produk halal keluaran Muslim.

Kini Shamensi ada beberapa cawangan, antaranya Ampang, Bandar Tun Hussein Onn, Green Town Mall dan Greentown Nova, Ipoh.

Mengikut perancangan, Shamensi dan Pasaraya Pak Aji akan difrancaiskan mulai tahun depan. Kos bagi francais ialah antara RM300,000 hingga RM400,000 dan institusi kewangan terkemuka sanggup memberi pinjaman bagi program itu. Beliau mensasarkan dua tahun bagi melahirkan 200 francais.

Hishamudin turut menawarkan peladangan kontrak bagi sayuran, limau, serai dan cili padi kepada yang berminat. Bahan berkenaan akan dipasarkan di rangkaian Pasaraya Pak Aji yang akan dibangunkan di seluruh negara.

“Melalui syarikat kami, Total Solution Agro Biz Consultant Sdn Bhd, kita memberi peladangan kontrak, khidmat nasihat sebelum menanam dan ketika menanam, khidmat geran permulaan, teknik pertanian, pasaran selamat dan terjamin serta harga yang menguntungkan,” katanya.

Hishamudin yang mempunyai 150 kakitangan turut melatih mereka menjadi usahawan dengan menjadi rakan niaganya.

“Saya tidak mahu orang bekerja dengan saya, tetapi mahu mereka berniaga dengan saya. Saya banyak perniagaan dan tidak mahu tamak. Saya tidak mahukan dunia tetapi mahu bekerja kerana akhirat, iaitu dapat memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Tahun depan, beliau merancang membangunkan kilang pakaian Muslim yang lebih besar dengan 300 pekerja manakala pada 28 Jun ini, akan diadakan majlis pecah tanah hub halal terbesar di dunia di tapak seluas 1.6 hektar.

Hishamuddin dengan usaha sama rakan kongsi juga dalam usaha mewujudkan perkampungan Islam di Pinggiran Putra, Putrajaya di kawasan seluas 2.4 hektar.

Sebanyak 20 lot banglo akan dibina di kawasan berkenaan, selain masjid dan menara yang boleh melihat kawasan Putrajaya. Di tapak berkenaan juga akan didirikan hotel. Projek berkenaan akan dimulakan pada Januari 2010.

Profil Usahawan Kreatif

NAMA: Hishamudin Mohamad

UMUR: 39 tahun

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Shamensi Holdings Sdn Bhd

SYARIKAT: Shamensi Clothing Sdn Bhd; Shamensi Garment Sdn Bhd; Shamensi Islamic Hotel Sdn Bhd; Pak Aji Marketing Sdn Bhd; Pak Aji Holdings Sdn Bhd; Pasaraya Pak Aji Sdn Bhd; Al-Husaini Sdn Bhd; Simple Technologies Sdn Bhd; Latest Technologies Sdn Bhd; Green Ideas Printing & Advertising Sdn Bhd; Jom Halal Event Management Sdn Bhd; Koperasi Pengedaran Produk Muslim Bhd; Shamensi International Islamic Business School (Unisel) dan Total Solution Agro Biz Consultant Sdn Bhd

ASAL: Kampung Kuantan, Klang

ISTERI: Rozlina Md Nasir

ANAK: Aina Syuhaidah (14); Firdaus Husaini (12); Anwar Husaini (11); Ainin Nadiah (9); Nisa Syakirah (7); Nuraliah Huda (6), Muhammad al-Husaini (4) dan Ainur Mardhiah (3)

Tips Usahawan Kreatif
Jika penuntut lain menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran ketika menuntut di menara gading, Hishamudin pula bukan saja giat berniaga di kolej dan ada perniagaan sendiri, malah turut memikul tanggungjawab sebagai suami.

Dalam usia 22 tahun, anak ke-10 daripada 11 beradik itu nekad berkahwin dengan pilihan hatinya, Rozalina Md Nasir, 39, biarpun masih bergelumang dengan buku.

Bagaimanapun, memikul tiga tanggungjawab sekaligus iaitu penuntut, usahawan dan suami bukan masalah bagi Hisamudin kerana beliau bijak merancang.

Isterinya yang kini menunggu masa untuk melahirkan anak ke-10 dikenali ketika sama-sama menuntut di Universiti Malaya.

Rozlina yang mengikuti kursus perubatan pada mula menangguhkan pengajiannya apabila mengandung dan melahirkan anak mereka pada tahun empat pengajian.

Bagaimanapun, selepas hidup berkeluarga, hasrat menamatkan pengajian dikuburkan begitu saja demi memberi tumpuan kepada keluarga. Bagaimanapun, anak sulung mereka meninggal dunia ketika berusia empat bulan.

"Disebabkan tidak menjadi doktor, isteri membantu saya membangunkan syarikat. Bagaimanapun, sampai satu tahap, dia kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap rumahtangga iaitu menjadi isteri dan ibu. Tambahan pula keluarga kami semakin besar, manakala syarikat ada kakitangan yang menguruskan bahagian masing-masing," katanya.

Biarpun sibuk dengan perniagaan, Hishamudin yang minat membaca tetap meluangkan masa mencedok ilmu daripada buku.

"Orang berniaga macam saya mana ada masa baca buku. Saya baca tajuk utama dan tajuk dalam setiap bab bagi mengetahui kandungan buku. Saya juga memberi buku yang dibeli kepada kakitangan untuk dibaca dan saya akan bertanya apa yang mereka peroleh daripada pembacaan itu.

"Itu caranya saya mendapat ilmu daripada pembacaan buku. Jika tidak, saya juga membaca buku pada jam 3 atau 4 pagi," katanya.

Petikan Metro Ahad